Cikgu Nazmi menggunakan pendekatan yang menarik perhatian murid-muridnya sewaktu di kelas.
Cikgu Nazmi menggunakan pendekatan yang menarik perhatian murid-muridnya sewaktu di kelas.

'Pelajar pendorong utama saya'

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
10 Feb 2025 02:00pm

Sosok pendidik muda ini pernah menggemparkan industri pendidikan negara apabila tersenarai sebagai 10 finalis bagi Hadiah Guru Global 2025 yang menawarkan wang tunai sebanyak AS$1 juta (RM4,445,672.70) pada Januari lalu.

Ditanya mengenai pencapaian itu, Muhammad Nazmi Rosli atau lebih mesra dipanggil Cikgu Nazmi dengan pantas menjawab anak-anak didik ataupun murid-murid yang menjadi pendorong dirinya untuk sampai ke tahap tersebut.

Cikgu Nazmi, 32, berkata, perubahan yang berlaku terhadap para pelajarnya menerusi keyakinan diri, kejayaan melalui kaedah pembelajaran, mencetuskan semangat untuk terus berusaha.

"Saya mendapat dorongan daripada pelajar. Melihat perubahan dalam diri mereka, keyakinan yang dibina dan kejayaan dicapai itulah motivasi terbesar.

"Selain itu, sokongan daripada rakan-rakan guru, keluarga dan komuniti pendidikan percaya terhadap pendekatan yang saya laksanakan menguatkan lagi semangat untuk terus mencuba serta mencipta perubahan," kongsi guru Sekolah Kebangsaan (SK) Long Sebangang, Lawas, Sarawak itu kepada Sinar Bestari.

Cikgu Nazmi juga sedang melaksanakan misi pendidikan yang adil buat semua pelajar.
Cikgu Nazmi juga sedang melaksanakan misi pendidikan yang adil buat semua pelajar.

Anak kelahiran Lawas itu mengakui kerjaya guru adalah impiannya sejak dari usia kecil lagi dan kecintaan terhadap sektor pendidikan lebih mendalam ketika beliau menjalani praktikum di Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak, Miri.

"Ketika itu, saya melihat bagaimana boleh memberi impak kepada kehidupan pelajar. Sejujurnya terus jatuh cinta dengan profesion tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Seorang guru itu bukan hanya mengajar tetapi perlu membimbing, memberi inspirasi dan membuka peluang kepada pelajar yang mungkin tiada akses kepada pendidikan yang berkualiti," katanya.

Pendidikan kunci kehidupan

Membesar dan menjalani kehidupan dalam persekitaran yang memahami bahawa ilmu itu sangat penting dalam kehidupan, menjadi kunci utama buat Cikgu Nazmi kekal di landasan perguruan.

Beliau percaya bahawa pendidikan mampu mengubah kehidupan terutama buat pelajar di kawasan luar bandar.

"Saya mahu anak-anak murid mendapat peluang yang sama untuk berjaya. Ia kerana

pendidikan bukan sekadar sesuatu dari dalam buku teks tetapi pengalaman yang boleh membentuk masa depan," katanya.

Pandangan itu turut dikuatkan bahawa kualiti pembelajaran di Malaysia mempunyai banyak potensi tetapi masih ada cabaran yang perlu diatasi.

Pondok membaca disediakan walaupun sekolah ditenggelami banjir.
Pondok membaca disediakan walaupun sekolah ditenggelami banjir.

Beliau berkata lagi, cabaran utama adalah jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, akses kepada teknologi serta pembelajaran yang perlu lebih inovatif.

"Saya percaya dengan usaha yang berterusan daripada para guru, ibu bapa dan pihak berkaitan, kita mampu menjadikan pendidikan di Malaysia lebih inklusif dan berkesan.

"Impian saya untuk melihat sistem pendidikan Malaysia lebih dinamik, kreatif dan sesuai dengan dunia moden," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp