Pelajar sekolah dan mahasiswa tidak terkecuali, berikut maklumat akta jenayah ‘anti-stalking’
Kewujudan media sosial hari ini pasti ada baik buruknya dan bagi pelajar sekolah dan penuntut universiti ia membantu golongan ini mendapatkan maklumat dengan mudah dan cepat selain berfungsi sebagai alat komunikasi baharu menerusi peranti pintar.
Ia semakin menjadi tumpuan ramai apabila teknologi hari ini menjadikan media sosial sebagai aplikasi alaf baru yang lebih bersifat interaktif dengan pelbagai elemen grafik, bunyi dan video yang menarik.
Jadi tidak hairanlah jika semua pelajar sekolah atau penuntut universiti mempunyai sekurang-kurangnya satu akaun media sosial sebagai medium berkongsi maklumat atau kehidupan seharian dengan pengikut masing-masing walaupun ia dilakukan hanya sekadar suka-suka.
Namun, perlu diingatkan tindakan gemar berkongsi kehidupan seharian sama ada secara suka-suka atau sebagai platform meraih pendapatan sampingan boleh mendedahkan diri kepada ancaman pengendap (stalker).
Isu melibatkan pengendap atau stalker ini bukan baharu malah ia sudah berlaku sejak dari dahulu sehingga menyebabkan mangsa berasa takut dalam menjalani kehidupan seharian.
Tidak hanya golongan dewasa, malah pelajar juga tidak terkecuali untuk menjadi mangsa stalker berkemungkinan mempunyai niat jahat yang mungkin mengancam nyawa.
Malah, media turut melaporkan nasib seorang jurugrambar yang hidup dalam tekanan serta ketakutan akibat diganggu dan diikuti seorang lelaki selama bertahun-tahun.
Gangguan yang diterima sejak 2016 itu bukanlah satu gurauan apabila lelaki berkenaan menjadi individu pertama didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaaan yang baharu atas kesalahan mengintai atau stalking.
Tertarik akan isu ini, Sinar Bestari ingin kongsikan sedikit maklumat tentang akta baharu yang diperkenalkan bagi membantu sekiranya anda terlibat dalam situasi begini dan berani untuk dapatkan bantuan.
Jom kita lihat.
Seksyen 507A Kanun Keseksaaan
1) Mengintai atau stalking ditakrifkan sebagai tindakan gangguan berulang yang bertujuan atau mungkin menyebabkan perasaan takut, cemas dan mengancam keselamatan mangsa.
2) Ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 29 Mac 2023 yang menjadikan perbuatan itu sama ada secara fizikal atau dalam talian sebagai satu jenayah.
3) Perlakuan menghendap merupakan satu masalah yang mempunyai implikasi serius terhadap kesihatan mental mangsa dan kadang kala boleh menjadi lebih buruk membabitkan serangan ganas.
4) Ia merangkumi empat jenis perbuatan termasuk mengekori seseorang itu dengan apa saja cara; berhubung atau cuba menghubungi seseorang itu dengan apa saja cara; merayau-rayau (loitering) di kawasan kediaman atau tempat kerja seseorang; dan menghantar apa-apa sahaja barang kepada seseorang dalam apa saja cara.
5) Individu yang melakukan perkara berkenaan akan dijatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
6) Pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah yang diluluskan bertujuan menjadikan perbuatan menghendap sebagai jenayah adalah satu langkah positif bagi mangsa yang terselamat demi mencari bantuan dan mendapatkan perlindungan.