Gambar hiasan.
Kredit foto: Freepik
Gambar hiasan. Kredit foto: Freepik

Pelajar Tingkatan 2 cekik adik, berubah sikap selepas menjadi mangsa buli

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
07 Jul 2023 02:07pm

Susulan isu kanak-kanak maut dicekik abang kandung Rabu lalu dipercayai berpunca selepas pelajar Tingkatan Dua itu menjadi mangsa buli di sekolah.

Menurut sebuah portal tempatan, bapa kepada pelajar berkenaan memberitahu, sikap anak sulungnya yang bersekolah asrama di sebuah sekolah di Melaka itu mula berubah selepas dikatakan dibuli oleh pelajar senior.

Bapanya mendakwa, anaknya itu telah dibuli sejak Tingkatan Satu tetapi hanya mendiamkan diri sehinggalah ia berlarutan ke tahun ini dan menjadi semakin teruk sebelum mula mengadu kepadanya dan isteri.

“Sebelum ini, dia kerap menelefon ibunya untuk mengadu akan hal tersebut tetapi awalnya saya sangkakan ia hanya keadaan biasa bagi pelajar yang tinggal di asrama sehinggalah terdapat kesan kecederaan barulah kami mengadu kepada pihak sekolah dan membuat laporan polis.

“Dia mengadu telah dibuli oleh dua rakan senior yang mencekik dirinya ketika tengah tidur, selain turut disimbah air dan ditendang serta dipukul,” katanya.

Tambah bapa kepada empat cahaya mata itu, dia dan isteri juga pernah dicekik anak sulungnya itu ketika menjemput dia pulang dari sekolah.

“Saya pernah mengambilnya dari sekolah dan selepas beberapa minit dia secara tiba-tiba meraung dengan menyebut Subhanallah dalam keadaan mata terbeliak sebelum bertindak mencekik saya dan tenaganya ketika kejadian tersebut seakan orang dewasa.

“Melihat kepada perubahan sikapnya membuatkan saya dan isteri mengambil keputuan membiarkan dia belajar di rumah buat sementara waktu dan dalam masa yang sama turut mendapatkan rawatan untuknya,” jelasnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan ibu dan bapanya keluar bekerja dan bapanya berada di Terengganu ketika kejadian tersebut berlaku.

Bagaimanpaun, bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, pasangan tersebut memantau pergerakan dua beradik itu melalui kamera litar tertutup (CCTC) menerusi telefon pintar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Setakat ini, Kementerian Pendidikan (KPM) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan susulan insiden berkenaan yang dikatakan berkait rapat dengan isu buli yang berlaku di sekolah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp