Pelajar Tingkatan Satu dihalau rumah, dibiar tidur di koridor undang sebak warga maya
Anak-anak merupakan golongan yang wajar dilindungi dan mendapat hak sepatutnya terutamanya mereka di bawah umur 18 tahun.
Hak mereka ini terjamin seperti yang telah termaktub di dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak 1989 yang diratifikasi oleh Malaysia dan ibu bapa adalah golongan yang bertanggungjawab menjadi pelindung serta menjamin keselamatan anak-anak.
Namun sering kali kita disajikan dengan berita menyayat hati melibatkan ancaman keselamatan anak-anak ini malah ada yang sehingga melibatkan kematian.
Ini termasuklah dengan berita yang tular baru-baru ini apabila dilaporkan seorang remaja lelaki berusia 13 tahun (pelajar Tingkatan Satu) telah diabaikan ibu bapanya dengan tidak dibenarkan memasuki rumah.
Keadaan ini telah menyebabkan remaja berkenaan terpaksa tidur di koridor rumah pangsapuri kos rendah keluarganya di Johor.
Menurut satu kenyataan yang dimuatnaik di laman Facebook Komuniti Taman Air Biru, ini bukan kali pertama dia tidak dibenar masuk ke rumah dan walaupun nasib malang ini menimpanya dia masih tetap pergi ke sekolah.
“Ini bukan kali pertama dia kena halau macam ini tetapi sudah selalu sangat. Budak ini baik walaupun dihalau rumah tetap pergi ke sekolah.
“Dia makan atas belas ehsan jiran-jiran tetapi ibu bapanya buat tidak tahu sahaja,” tulis hantaran tersebut.
Dalam pada itu, media turut melaporkan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, remaja tersebut diabaikan ibu bapanya sejak 7 Julai lalu.
Beliau berkata lagi, kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Sementara itu, warga maya yang membaca kisah remaja tersebut turut menyatakan rasa sedih dan terkilan atas tindakan ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab.
Antara komen yang sempat dipetik adalah:
Aidasam: Ya ALLAH, kesiannya tak sampai hati tengok. Nanti dia mesti trauma dan takut ada masalah mental. Perlu buat pemeriksaan kesihatan sekiranya ada kesan penderaan fizikal dan mental.
Notyournadi: Dia dah kena macam ini pun tetap pergi sekolah. Semoga ALLAH pelihara adik ini.
Fnkeyla: Adik, akak doakan awak berjaya dunia akhirat suatu hati nanti.
Fara G: Ya ALLAH dik, muda betul usia kau untuk mengenal dunia. Semoga adik ini sembuh dari kejahatan yang dilakukan terhadapnya.