Nur Atiqah meninggal dunia sekitar jam 9 malam tadi, maklum Cikgu Din menerusi aplikasi WhatsApp.
Nur Atiqah meninggal dunia sekitar jam 9 malam tadi, maklum Cikgu Din menerusi aplikasi WhatsApp.

Pemergian yang mengejutkan! 'Isteri saya telah menghembuskan nafas terakhir malam tadi. Maafkan beliau andai ada salah & silap' - Cikgu Din

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
03 Dec 2024 11:42am

"ALLAH. Dapat berita Puan Atiqah, isteri Cikgu Din yang sakit kanser meninggal dunia. Innalillahi wa inna Ilaihi Raji'un. Insya-ALLAH saya nak pergi ziarah beliau."

Demikian tulis bekas guru, Mohd Fadli Salleh menerusi akaun Facebooknya pada Selasa.

Catatnya lagi, pemergian Allahyarham cukup meninggalkan kesan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Semoga roh arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Sedih juga dengan berita ini. Namun sekurangnya kita semua berjaya bantu Cikgu Din untuk ditempatkan sementara di kampung beliau dan Cikgu Din ada disisi isteri saat arwah pergi. Kalaulah masa tu Cikgu Din berada di Sarawak, pasti ralat sangat. Salam takziah buat Cikgu Din dan keluarga,” ujarnya lagi.

Untuk info pembaca Sinar Bestari, kisah sedih Cikgu Din atau nama penuhnya, Mohammad Izzuddin Izhar menjadi tular dan mendapat perhatian ramai apabila permohonannya untuk bertukar ke Semenanjung tidak diluluskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas dasar tempoh perkhidmatannya belum mencecah tiga tahun.

Beliau (Cikgu Din) yang sebelum ini mengajar di Sarawak mahu bertukar ke Kelantan demi menjaga isteri tercinta, Nur Atiqah My Yusoff yang menghidap kanser tulang rawan tahap empat (Mesenchymal chondrosarcoma left fumur) dan sedang menerima rawatan kemoterapi di sebuah hospital sekitar Kelantan (ketika itu).

Berkat doa rakyat Malaysia, KPM melahirkan keprihatinan dan kesukaran yang dihadapi Cikgu Din.

No Image Caption

Mereka terus mengambil tindakan segera dengan menempatkan guru ini di sekolah berhampiran (Kelantan) supaya dia dapat melaksanakan tugasan sekali gus dapat menjaga isterinya.

Sementara itu, Cikgu Din turut berkongsi pemergian insan kesayangannya menerusi aplikasi WhatsApp.

"Assalamualaikum WBT. Bagi sahabat handai yang mengenali isteri saya, Nur Atiqah Binti My Yusoff, isteri saya telah menghembuskan nafas yang terakhir jam 9 (malam) tadi. Saya mohon maaf kalau isteri saya ada salah silap dan kalau ada hutang-hutang beliau (Allahyarham), mohon PM (Private Message) saya," tulis Cikgu Din ringkas.

Menjengah ke ruangan komen di Facebook Cikgu Fadli, rata-rata warga maya meluahkan rasa sedih dan simpati dengan kematian isteri Cikgu Din.

"Sedih dengar berita ni. Alhamdulilah juga Cikgu Din dapat bersama dengan isteri dia."

"Alhamdulillah, Cikgu Din dapat jaga isterinya hingga akhir hayat. Semua usaha membantu mereka ALLAH sahaja yang membalasnya. Semoga segala kesabaran dan ketabahan keluarga ini diberi ganjaran oleh ALLAH SWT. Al-Fatihah."

"Innalilahi wa inna Ilaihi Raji'un. Semoga ALLAH ampunkan segala dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga Firdaus tanpa hisab."

"Innalilahi wa inna Ilaihi Raji'un. Semoga ALLAH ampunkan segala dosa arwah, menerima segala amalan dan mengangkat darjatnya di sisiNya. Semoga pemergian beliau menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia, dilindungi dari seksa kubur dan roh arwah ditempatkan di kalangan para solihin."

"Berderau darah sekejap mendapat berita ini. Tidaklah terkejut, sebab semua kita tak kan tahu tarikh kematian, tapi mungkin terkesan apabila mengimbau kembali kisah-kisah kesukaran Cikgu Din untuk tidak berjauhan dengan isterinya. Sesunguhnya, mati itu pasti. Diharap Cikgu Din dan keluarga reda atas ketentuan ALLAH. Moga ALLAH izin Cikgu Din berjumpa lagi dengan arwah isteri dalam keadaan terbaik dan selama-lamanya."

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp