Kecintaan terhadap negara wajar dimanifestasikan dalam pelbagai artikulasi lestari dan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan Rukun Negara secara komprehensif adalah penting bagi mengupayakan lagi tahap penghayatan. Gambar kecil, Mohamed Ali.
Kecintaan terhadap negara wajar dimanifestasikan dalam pelbagai artikulasi lestari dan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan Rukun Negara secara komprehensif adalah penting bagi mengupayakan lagi tahap penghayatan. Gambar kecil, Mohamed Ali.

Pemugaran patriotisme melalui prinsip Rukun Negara

PROFESOR MADYA DR MOHAMED ALI HANIFFA
23 Aug 2023 09:26am
A
A
A

Manifestasi cintakan negara dipamerkan melalui keterlibatan dan sumbangan warganegara dalam agenda pembangunan negara.

Sebagai contoh setiap tahun, pelbagai program telah diatur sempena menyambut detik bersejarah negara iaitu Hari Kebangsaan.

Sambutan Hari Kebangsaan negara sudah pun menginjak ke angka 66 tahun dengan tema ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’.

Begitulah harapannya agar Malaysia Madani sentiasa memenuhi harapan selamanya seperti mana asal mula pemugaran kehebatan peradaban Kesultanan Melayu Melaka.

Masyarakat berbilang kaum dan agama serta pendekatan berdiplomasi adalah rencah kepada model keharmonian ketika itu.

Kesetiaan masyarakat Melaka tidak berbelah bahagi terhadap pemerintah, namun perpecahan nepotisme dan kronisme menyebabkan keruntuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 24 Ogos 1511.

Malaysia adalah sebuah negara yang unik melalui perkongsian sejarah, sosiobudaya dan ekonomi.

Teras kekuatan negara diterjemahkan melalui sistem pemerintahan demokrasi Raja Berperlembagaan namun berlaku perkongsian kuasa.

Artikel Berkaitan:

Islam adalah agama persekutuan dan dominan dalam konteks hidup bermasyarakat.

Negara sentiasa berdepan dengan cabaran unity in diversity selepas mencapai kemerdekaan.

Kerapuhan hubungan kaum diuji berikutan meletusnya peristiwa 13 Mei 1969 selepas 12 tahun kemerdekaan negara dicapai.

Bagi membina kembali keharmonian kaum, Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat, Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970 bersempena Sambutan Kemerdekaan Ke-13.

Prinsip ini dirangka hasil rundingan oleh Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dan mengandungi lima prinsip yang perlu dijiwai oleh bangsa Malaysia.

Matlamatnya bagi mencipta dan mengupayakan masyarakat agar kemakmuran negara dapat dinikmati secara adil serta saksama.

Sementara itu, nilai-nilai patriotisme dan perpaduan sangat penting dalam memastikan kesegaran pembinaan bangsa Malaysia di mana semua warganegara mempunyai peranan dalam pengisian kemerdekaan.

Kepelbagaian kaum, budaya dan agama yang dimiliki oleh Malaysia seharusnya menjadi kekuatan.

Walaupun adakalanya wujud perbezaan, persaingan dan konflik tetapi kesepaduan sosial yang wujud sekian lama dalam masyarakat berjaya mengekalkan perpaduan.

Dalam pada itu, sistem pendidikan di Malaysia turut dinikmati oleh semua kaum agar mereka tidak terkebelakang daripada acuan pembinaan negara.

Sistem pendidikan Rukun Negara berkait dengan perpaduan yang mencerminkan kepelbagaian dan perlu dipupuk agar terus sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tatasusila dan adab ketimuran perlu menjadi benteng ‘Bina Bangsa’.

Saluran seperti media sosial perlu digunakan sebagai gelanggang untuk membentuk kesepaduan pemikiran dan tindakan.

Pemugaran Rukun Negara

Rukun Negara mampu menjadi tiang seri dalam melahirkan warganegara yang bermaruah dan beretika.

Kejayaan masa hadapan sesebuah negara bergantung terhadap keupayaan dan kemantapan sistem nilai generasi muda.

Mereka harus kental bersiap siaga bertahan dan menghormati nilai-nilai sedia ada di samping bersifat dinamik serta sederap menuju kejayaan.

Kecintaan terhadap negara wajar dimanifestasikan dalam pelbagai artikulasi lestari dan peningkatan kesedaran terhadap kepentingan Rukun Negara secara komprehensif adalah penting bagi mengupayakan lagi tahap penghayatan.

Selain itu, langkah Kementerian Pendidikan (KPM) memperkenalkan subjek Sejarah sejak di sekolah rendah berupaya melahirkan warganegara yang cakna untuk memikirkan hal ehwal negara.

Intipati ilmu sejarah yang dipasak kepada pelajar sejak di bangku sekolah berupaya membenihkan impak positif bagi menyatakan pandangan dan buah fikiran bernas serta bermakna.

Usaha ini diteruskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melalui pembelajaran kursus teras seperti Pengajian Malaysia, Kenegaraan Malaysia serta Integriti dan Anti Rasuah.

Dalam menjayakan tugas tersebut, guru dan ibu bapa perlu bertindak sebagai suri teladan dan pencetus inspirasi kepada murid.

Dimensi kewarganegaraan yang perlu diterapkan kepada pelajar ialah perkongsian sejarah, nilai, perasaan kekitaan, masa depan, kesetiaan, tanggungjawab sebagai warganegara dan keterikatan emosi terhadap negara.

Pengintegrasian elemen kewarganegaraan dan penerapan nilai sivik boleh dimantapkan lagi dengan memberi penekanan kepada amalan nilai serta menghubungkaitkan tanggungjawab dan peranan individu, masyarakat serta negara.

Sejarah berupaya membimbing kita untuk menjadi rakyat yang bertanggungjawab, berkelakuan baik, taat setia dan bangga dengan budaya serta warisan negaranya.

Seterusnya, anak-anak pelajar merupakan aset penting dan bakal memimpin negara.

Penerapan nilai murni, integriti dan budaya antirasuah adalah penting dan perlu dititikberatkan dalam sistem pendidikan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Warga pendidik di semua peringkat perlu menggalas amanah untuk memberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan bagi mendidik generasi pelapis negara.

Program-program berimpak tinggi yang berfokuskan kemenjadian pelajar perlu diberikan perhatian serius di semua peringkat akar umbi.

Pemerkasaan bakat dan ketrampilan pelajar secara holistik perlu bermula sejak awal serta berupaya memberikan impak positif dan jangka panjang kepada pembinaan karakter pelajar.

Di institut pengajian tinggi (IPT), program kolaborasi dapat menyalurkan input bermanfaat kepada perkongsian idea malah institusi kekeluargaan dan pendidikan adalah platform awal terbaik bagi menyemai patriotisme.

Dalam pada itu, keharmonian hidup bersama dalam sebuah negara dan membina budaya espri de corp perlu digembleng dalam kalangan anak-anak.

Kelangsungan hidup bangsa Malaysia bergantung kepada keupayaan dan kesanggupan rakyat untuk berkongsi nilai, identiti serta hala tuju dalam menjayakan aspirasi negara.

Membina pasak ketaatan dan patriotisme perlu dimulai secara serius dan bukannya menjelang Sambutan Bulan Kebangsaan semata-mata.

Kekuatan bangsa Malaysia ialah apabila berupaya hidup harmoni tanpa berprasangka.

Tiada istilah akan berakhirnya Sambutan Bulan Kebangsaan Negara kerana agenda membina perpaduan adalah tanggungjawab bersama.

Salam Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia untuk tanah airku tercinta.

Maklumat Penulis

Pensyarah Kanan, Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Jabatan Tamadun dan Falsafah, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mohamed Ali Haniffa

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok