No Image Caption

Penulisan kreatif bantu guru coret pengalaman dengan bergaya

24 Jul 2023 04:30pm

Seramai 38 orang Jurulatih Utama Badan Pemimpin Muda Sekolah atau lebih dikenali Student Leaders Board (SLB) berkesempatan mengadakan lawatan ilmu dan bengkel kerja di Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

Rombongan di bawah kendalian Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu bertujuan memberi pendedahan lebih mendalam maklumat kepada jurulatih tersebut terutama dari segi penulisan kreatif.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid JPNJ, Norashuha Tajuddin, rata-rata mereka merupakan guru kaunseling yang dipilih mewakili daerah masing- masing di negeri tersebut.

“Alhamdulillah, ini merupakan lawatan julung kali buat kami ke Kompleks Kumpulan Karangkraf. Meskipun sering mengadakan program sebegini, namun ia selalunya tertumpu di universiti atau kolej.

“Oleh itu, saya dapat lihat lawatan kali ini memberi input maklumat dari segi penulisan kepada para jurulatih.

“Acara berkenaan membolehkan mereka mendapatkan tip atau cara penulisan dengan lebih berkesan. Apatah lagi jurulatih berkenaan mempunyai pengalaman yang cukup banyak untuk dikongsikan dalam bentuk penulisan kepada orang ramai,” katanya kepada Sinar Bestari.

Taklimat penulisan disampaikan oleh Editor Grup Buku Karangkraf (GBK), Shahida Md Khasim.

Artikel Berkaitan:

SLB merupakan satu projek pembangunan kepimpinan yang dibangunkan JPNJ bagi melahirkan pelajar yang berkepimpinan dan mempunyai daya pemikiran yang kreatif, dinamik dan inovatif dalam kalangan pelajar sekolah di negeri berkenaan.

Dalam pada itu, Norashuha mengulas, lawatan kali ini bepotensi menjadi titik mula bagi kerjasama antara pihak JPNJ dengan Karangkraf.

Jelas beliau, sebagai sebuah syarikat penerbitan, Karangkraf sudah pasti mampu menarik minat ramai generasi muda terutama pelajar sekolah menengah negeri itu untuk menerokai bidang yang berkait dengannya termasuk penulisan dan kewartawanan.

Kesemua peserta rombongan turut dibawa melihat secara dekat operasi pencetakan di Ultimate Print Sdn Bhd yang merupakan syarikat pencetakan kormesial terbesar.

Mereka juga berpeluang menikmati diskaun 20 peratus bagi setiap pembelian di kedai tersebut.

Sementara itu, Pengurus Tugas- Tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Anang berkata, pihaknya bersedia berkongsi pengalaman dalam bidang penerbitan dan pencetakan.

Justeru, kunjungan para guru dari beberapa daerah di Johor sangat dialu-alukan.

“Demi menghargai golongan pendidik dan pelajar, Sinar Harian mewujudkan sisipan Sinar Bestari yang melaporkan informasi aktiviti di sekolah dan institut pengajian tinggi,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp