Pernas anjur ‘Back To School’ bantu 250 murid tidak berkemampuan

AZLEENDA SAHALUDIN
17 Mar 2023 11:04am
A
A
A

Keterujaan dan semangat kembali ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara fizikal di dalam kelas selain bertemu dengan guru dan rakan dirasai oleh semua murid lebih-lebih lagi sesi persekolahan baru bakal bermula minggu depan.

Untuk itu pelbagai persiapan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap murid mempunyai kelengkapan seperti baju, kasut dan alat tulis.

Namun melihat kepada keadaan ekonomi yang menjadikan sesetengah pihak tidak berkemampuan untuk membeli segala barangan berkenaan, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mengambil pendekatan menganjurkan program ‘Back To School’.

Program tersebut meraikan seramai 200 pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai dan 50 murid asnaf Sekolah Rendah Agama (SRA) Ar-Rahah, Kampung Kerinchi, Bangsar South, dengan memperuntukkan zakat wakalah sebanyak RM107,800 melalui pengagihan barangan keperluan sekolah seperti baju, stoking, kasut sekolah, alat tulis serta wang tunai berjumlah RM100 seorang.

Pengerusi Pernas, Datuk Hazimah Zainuddin berkata, program melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membuktikan agensi-agensi kerajaan sentiasa peka dan komited dengan keperluan masyarakat.

Beliau memberitahu, inisiatif CSR ‘Back To School’ juga adalah sebagai tanda keprihatinan syarikat untuk membantu golongan asnaf dalam menyediakan kemudahan pembelajaran kepada pelajar sekolah yang majoriti adalah kategori miskin bandar dan memerlukan bantuan daripada pelbagai pihak.

“Pernas telah beberapa kali melaksanakan CSR bersama SMK Seri Pantai yang merupakan sekolah angkat dengan menyumbang kepada sekolah bagi menambah baik infrastuktur bilik-bilik khas di sekolah tersebut.

“Saya berharap usaha murni ini dapat membantu sekolah dalam menyediakan persekitaran yang kondusif kepada pelajar agar dapat menjalani sesi pembelajaran dengan lebih selesa dan bersemangat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Selain Program ‘Back To School’, Pernas juga mempunyai beberapa program CSR lain yang akan dilaksanakan pada tahun ini bagi membantu golongan memerlukan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok