Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Persekitaran kondusif jaminan keselesaan kepada murid dan guru

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
24 May 2023 04:46pm

Suasana persekitaran yang kondusif dalam menuntut ilmu amat penting bagi menjaga keselesaan murid dan juga guru.

Pada masa yang sama ia juga dapat memastikan proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) sentiasa berjalan lancar selain murid-murid dapat menyerap ilmu dalam keadaan selesa dan gembira walaupun terpaksa berdepan dengan cuaca panas ketika ini.

Bagaimanapun tidak semua sekolah mampu menyediakan persekitaran atau kelas yang sesuai dan selesa jika hendak dibandingkan dengan sekolah-sekolah di luar negara.

Memetik perkongsian Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad di laman sosial Facebooknya, saban hari kita disajikan dengan isu pendidikan berkualiti yang bertaraf dunia, transformasi sekolah dan pelbagai lagi akan tetapi murid-murid dan guru yang kepanasan di dalam kelas masih tidak dapat diselesaikan.

Kata Anuar Ahmad, situasi panas dan bahang yang melanda negara ketika ini perlu dipandang serius demi memastikan murid-murid dan guru dapat menjalani PdP dengan selesa dan efektif.

“Cuba bayangkan sekiranya seminggu sekali seluruh bangunan Kementerian Pendidikan (KPM) di Putrajaya, bangunan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ditutup penyaman udara, tidak perlu lama cukuplah dua jam.

“Dan teruskan bekerja dan bermesyuarat selama tempoh tersebut dengan hanya menghidupkan kipas angin. Pasti rimas, panas dan hilang motivasi untuk bekerja dengan baik.

“Begitulah jua dengan apa yang dirasai oleh anak-anak kita di sekolah sekarang memandangkan mereka bukan hanya dua jam sahaja perlu berdepan dengan suasana panas tetapi hampir lima jam sehari masa dihabiskan di sekolah,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambah Anuar Ahmad, situasi demikian sedikit sebanyak mengundang rasa kurang empati kepada kebajikan murid-murid dan guru di sekolah.

Melalui perkongsian itu juga, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi secara penuh hantaran yang dimuat naik beliau untuk tatapan pihak bertanggungjawab agar solusi menangani isu-isu sebegini dapat dilakukan dengan segera.

Jom kita lihat.

Saya di sekolah sepanjang hari ini. Suhu antara 31 darjah Celsius (dalam kelas) dan 33 darjah Celsius (luar kelas). Sangat panas dan rimas.

Di dalam kelas, saya lihat murid-murid berkipas menggunakan apa sahaja yang tercapai. Kertas, buku atau dengan tangan. Sekejap-sekejap mereka mengelap peluh di muka dan mengipas-gipas tudung. Nampak wajah mereka lesu, rimas dan gelisah.

Cikgu terus mengajar. Bercakap laju tanpa noktah. Memang sebagai guru yang bertanggungjawab, mereka mesti habiskan topik yang dirancang untuk hari ini. Kalau tidak habis, topik esok dan seterusnya akan tertangguh. Bala besa akan timbul nanti.

Guru terus mengajar. Ada beberapa murid yang memandang keluar kelas dengan pandangan kosong.

Guru terus mengajar. Ada murid-murid di belakang kelas bercakap sesama sendiri. Mereka semakin hilang fokus. Panas, rimas dan bosan. Teknik Pembelajaran Abad Ke 21 (PAK21) yang berbentuk 'bebelan' guru nampaknya menambahkan lagi rasa ingin segera keluar dari bilik darjah. Tapi apa daya mereka. Mereka hanya murid-murid yang tiada suara. Bersabar sahajalah.

Guru terus mengajar. Sebaik loceng berbunyi, kelihatan dengan jelas murid-murid secara serentak seperti menarik nafas lega.

Kita sebenarnya sudah hilang empati pada kesejahteraan murid-murid dan guru. Betul, kita kaya dengan berbagai slogan lunak. 'Sekolahku Sejahtera', 'Murid ceria’, ‘Guru Bahagia’ dan berbagai slogan lagi. Tapi itu semua hanya slogan. Apa yang ada di sekolah tidak banyak berubah. Sama sahaja seperti dulu.

Suhu panas di sekolah memang menyebabkan hati kita 'mudah panas' melihat keadaan murid-murid dan guru.

Kita bercakap soal pendidikan berkualiti, bertaraf dunia, PAK21, transformasi sekolah dan berbagai lagi. Murid-murid rimas dan panas dalam kelas pun kita tak mampu selesaikan. Itulah kita.

Saya bayangkan apa kata kalau seminggu sekali seluruh bangunan KPM di Putrajaya, semua bangunan JPN dan PPD tutup penyaman udara. Tidak perlu lama. Cukuplah dua jam di antara 11 pagi sampai 1 petang.

Teruskan bekerja atau bermesyuarat dengan tiada penyaman udara, cukuplah pasangkan kipas angin. Apa rasanya? Pasti rimas, panas dan hilang motivasi untuk bekerja dengan baik.

Itulah rasa anak-anak kita di sekolah sekarang. Malah mereka bukan sekadar dua jam tapi lima jam setiap hari persekolahan. Dan terpaksa berkurung dalam kelas yang sesak dengan murid lain.

Fahamilah, 30 tahun dulu, cuaca panas tidak seperti sekarang. Dulu kita masih mampu bertahan. Tetapi bukan sekarang.

Anda kesian pada mereka? Apa tindakan anda sebagai orang yang diberikan amanah selain kata 'kesian'?

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp