Pertandingan memasak cungkil bakat murid SK Bukit Kuda
Hari ini bidang masakan bukan lagi khusus untuk orang dewasa malah ia dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan murid-murid sekolah.
Melihat akan perkembangan tersebut, baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kuda, Klang, Selangor, telah menganjurkan pertandingan memasak antara unit beruniform.
Acara yang disertai oleh persatuan Pengakap, Bulan Sabit Merah, Puteri Islam Malaysia dan Tunas Kadet Remaja sekolah itu melibatkan seramai 350 orang murid Tahun Empat, Lima dan Enam.
Penyelaras Kanan Kokurikulumnya, Cikgu Mohd Yunus Shahar berkata, pertandingan memasak tersebut memerlukan kesemua peserta menyediakan pelbagai sajian mi dengan olahan tersendiri.
“Penilaian markah akan diberikan mengikut bagaimana makanan berkenaan disediakan. Adakah ia menepati piawaian keselamatan, pengendalian dapur yang tepat atau tidak dan banyak lagi.
“Justeru, pertandingan ini memberikan murid-murid input baharu dalam dunia masakan terutama bagaimana cara memotong bawang, mengisar dan sebagainya.
“Hasilnya, pelbagai jenis mi dihidangkan antaranya mi bandung dan mi goreng,” katanya kepada Sinar Bestari ketika dihubungi, baru-baru ini.
Tambah Cikgu Mohd Yunus, pelbagai tema telah ditampilkan setiap pasukan dalam usaha memberi kelainan kepada sajian mi yang disediakan seperti tema semula jadi dan tradisional.
Beliau juga mengulas, pertandingan tersebut secara tidak langsung sebahagian persediaan murid-murid SKBK untuk program Perkhemahan Perdana SKBK yang bakal dianjurkan pada 13 hingga15 Oktober 2023.