Pesawat terhempas: Pemergian arwah Khairil Azwan secara mengejut buat Cikgu Huzaire hilang kata-kata
“Kami sudah berkawan sejak dari kecil lagi. Pelbagai momen indah telah dilalui bersama-sama.
“Namun, berita mengenai arwah (Khairil Azwan Jamaludin) telah meninggal dunia, benar-benar mengejutkan saya dan rakan-rakan yang lain.
“Sedih, sebak, pilu dan bermacam lagi perasaan hadir dalam diri saya...berehatlah sahabatku, semoga ALLAH SWT membalas segala kebaikan dan menempatkanmu di syurga yang tertinggi, insya-ALLAH,” tutur Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Mempaga 2, Pahang, Cikgu Huzaire Ahmad dalam nada sebak.
Beliau yang dihubungi Sinar Bestari bagi berkongsi perasaan apabila kehilangan sahabat dalam kejadian pesawat persendirian jenis Beechcraft 390 (Premier 1) yang terhempas di atas jalan raya di Elmina, Shah Alam, Selangor pada Khamis kelihatan gagal menahan kesedihan.
“Saya mengetahui arwah tiada menerusi aplikasi WhatsApp grup Blok 11/13 Mempaga. Ketika itu, semua terkejut dan masing-masing hilang kata-kata.
“Hanya ucapan takziah yang memenuhi ruangan WhatsApp kami,” ujarnya lagi.
Allahyarham (Khairil Azwan) merupakan salah seorang daripada 10 individu yang maut apabila sebuah pesawat menjunam laju dari langit dengan muncung pesawat menghala ke bawah hampir 90 darjah sebelum terhempas di atas jalan raya di Elmina.
Selain Khairil Azwan, mereka yang turut terkorban dalam kejadian maut jet persendirian terhempas di Elmina itu ialah Shahrul Kamal Roslan (juruterbang); Heikal Aras Abdul Azim (pembantu juruterbang); Datuk Seri Johari Harun (Exco Pahang); Shaharul Amir Omar; Mohamed Naim Fawwaz Mohamed Muaidu; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; Ramali Idris Abdol Talib dan dua orang awam.
Berkongsi pengalaman indah bersama Khairil Azwan, Cikgu Huzaire memberitahu, kenangan manis yang dicipta dengan arwah terlalu banyak dalam lipatan memorinya.
“Saya seorang guru kurang upaya (OKU) kategori lumpuh sejak 23 tahun lalu.
“Allahyarham sememangnya mengetahui saya mengalami kecacatan kekal dan dia antara insan yang sentiasa memberi semangat untuk saya terus bergelar pendidik.
“Masih ingat lagi, arwah pernah mendukung saya semasa pergi berubat satu ketika dulu.
“Beliau juga sering menemani saya sekiranya terpaksa ‘bermalam’ di hospital atas sebab-sebab tertentu. Sesungguhnya diri ini menjadi saksi yang allahyarham seorang rakan yang sangat mempunyai keperibadian baik dan mulia,” ujarnya sebak.