Cikgu Norafizah (baris kedua, lapan dari kiri) dan Hussamuddin (baris kedua, sembilan dari kiri) serta barisan peserta Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM
di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.
Cikgu Norafizah (baris kedua, lapan dari kiri) dan Hussamuddin (baris kedua, sembilan dari kiri) serta barisan peserta Bengkel Pengurusan PSS dan NILAM di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini.

Pusat Sumber Sekolah bantu kecemerlangan sekolah

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
04 Sep 2023 02:31pm

Sejajar dengan ledakan teknologi hari ini, Guru Perpustakaan dan Media (GPM) yang baharu serta lama perlu didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan termasuk pendidikan pendigitalan bagi membantu menguruskan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dengan berkesan.

Ini kerana PSS bukan sekadar tempat membaca semata-mata tetapi menjadi medan membina peradaban dan nilai bangsa.

Menyedari kepentingannya, Bengkel Pengurusan PSS dan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) telah diadakan selama dua hari di Auditorium Kompleks Kumpulan Karangkraf baru-baru ini yang bertujuan memberi kursus kepada GPM dalam meningkatkan kompetensi diri mendepani cabaran pendidikan masa kini.

Menurut Guru Cemerlang Perpustakaan dan Media, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu, Jerantut, Pahang, Cikgu Norafizah Abdul Razak, PSS adalah tempat memberi perkhidmatan yang penting dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan, menyediakan pelajar untuk menghadapi zaman maklumat serta membina budaya ilmu.

Malah katanya, PSS juga adalah lokasi menanam asas pendidikan sepanjang hayat dan memperkembangkan potensi pelajar selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

“GPM perlu persiapkan diri dalam semua aspek dan apa yang saya lihat, kursus ini sangat bermakna bagi memberikan penekanan kepada kepentingan PSS sebagai khidmat bantu kecemerlangan sesebuah sekolah,” ujarnya selaku penceramah pada bengkel berkenaan.

Bengkel anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Utama dengan kerjasama PPD Petaling Perdana itu telah disertai 80 GPM sekitar daerah berkenaan.

Selain didedahkan dengan cara pengurusan PSS yang sebenar, peserta juga diberi tip penting bagaimana menarik minat pelajar suka membaca.

Artikel Berkaitan:

Pada bengkel tersebut, Cikgu Norafizah turut diumumkan penerima Anugerah Khas Guru Bicara Cilik Rasuah Busters 2023 Peringkat Kebangsaan, Kategori Guru, manakala SK Kampung Baharu dinobatkan penerima Anugerah Khas, Kategori Sekolah.

Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Buster, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, amalan membaca dalam kalangan pelajar perlu dipertingkatkan lagi dengan mewujudkan lebih banyak program bacaan sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah atau institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kebiasaannya pelajar mendapatkan bahan bacaan di PSS bagi mendapatkan informasi.

“Jika PSS menarik, sudah tentu ramai yang akan mengunjunginya. Jadi, saya puji bengkel hari ini yang nyata memberi banyak idea dalam menjadikan PSS sebagai tempat santai dan menyeronokkan,” jelasnya pada majlis tersebut.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Mohd Nuri Hussin; Pegawai Unit Sumber dan Teknologi Pendidikan PPD Petaling Utama, Maria Farinna serta Penolong Pegawai PPD Petaling Perdana, Mohd Hazlan Che Onn.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp