Rabies: 5 langkah yang boleh dibuat jika digigit anjing, kucing liar

AZLEENDA SAHALUDIN
15 May 2023 04:46pm
A
A
A

Seseorang individu yang digigit anjing, kucing atau haiwan peliharaan adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan memandangkan terdapat risiko besar berkemungkinan berlaku kepada mangsa.

Ini kerana, mereka yang digigit haiwan berkenaan boleh dijangkiti virus rabies yang boleh mengakibatkan mangsa terkena penyakit anjing gila.

Lebih dahsyat lagi, penyakit tersebut juga boleh menyebabkan kematian kerana virus rabies ini boleh memasuki saluran darah selain turut menyerang sistem saraf manusia.

Ini dapat dibuktikan apabila media pernah melaporkan kematian seorang mangsa dari Sarawak yang digigit anjing pada 3 April lepas di bahagian tangan kiri.

Menurut laporan berkenaan, mangsa kemudiaannya mendapatkan rawatan di klinik dan turut menerima vaksin wabak itu di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Namun siapa sangka dengan hanya mengalami demam panas teruk pada 25 higga 27 April lalu di samping kesihatannya juga mula merosot boleh menyebabkan mangsa tidak dapat berjalan dan akhirnya disahkan meninggal dunia.

Justeru itu, wabak rabies atau anjing gila ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak apatah lagi ia boleh mengundang maut sekiranya tidak dicegah dengan teliti.

Memetik daripada infografik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi lima langkah yang perlu diambil ibu bapa atau guru sekiranya berdepan dengan situasi atau menerima aduan anak-anak digigit anjing dan kucing liar.

Artikel Berkaitan:

Jom kita lihat.

1) Basuh luka gigitan.

Segera mencuci atau basuh bahagian tubuh badan yang digigit dengan sabun dan air mengalir sekurang-kurangnya 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur haiwan liar berkenaan. Sapukan juga ubat antiseptic dan balut luka dengan pembalut yang bersih.

2) Segera ke klinik.

Diingatkan untuk segera membawa mangsa gigitan haiwan liar untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berdekatan.

3) Patuhi arahan doktor dan pakar perubatan.

Mangsa yang digigit hendaklah mematuhi segala arahan yang dikeluarkan oleh doktor selain turut mendapatkan suntikan vaksin anti-rabies dan mengikut jadual suntikan sekiranya perlu.

4) Maklumkan pada pihak berkuasa.

Ibu bapa atau guru hendaklah meminta anak-anak atau mangsa untuk memberitahu di mana kawasan kejadian berlaku bagi memudahkan pencarian haiwan liar berkenaan. Ini adalah untuk menangkap dan menjalankan pemeriksaan selanjutnya ke atas haiwan liar terbabit yang akan dibuat oleh pihak berkuasa seperti majlis perbandaran atau Jabatan Kesihatan negeri.

5) Cegah dari awal.

Cegah jangkitan rabies dan jangan mendekati haiwan liar atau haiwan yang disyaki pembawa rabies. Ia bertujuan mengurangkan risiko digigit terutamanya kanak-kanak. Mencegah lebih baik daripada mengubati.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok