Robotik pupuk generasi berinovasi, kreatif
Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan matlamat dan tujuan sistem pendidikan adalah untuk melengkapkan pelajar secara menyeluruh bagi membolehkan mereka berjaya terutama dalam abad ke-21.
Negara ingin menghasilkan modal insan bertaraf dunia, dengan pelajar mempunyai kelayakan pendidikan tinggi bercirikan pengetahuan dan inovasi serta memiliki tahap kemahiran tinggi dalam bidang teknikal.
Untuk itu, dalam usaha memberikan pendedahan seawal mungkin kepada murid-murid, silibus mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT) Tahun Enam bertemakan Reka Bentuk Pengaturcaraan telah diperkenalkan.
Mengetengahkan pengenalan asas sistem robotik standard pembelajaran, menyatakan eleman sistem robotik, menghuraikan elemen sistem robotik yang terdapat pada robot dan menjelaskan pemasangan perkakasan pada reka bentuk sebuah robot, ia mendedahkan murid-murid dengan dunia robotik.
Menurut Pengasas Myrobotz Enterprise, Koh Seng Yau, pendedahan dan penguasaan masyarakat negara ini dalam bidang robotik belum memberangsangkan.
Tambahnya, disebabkan alasan itulah penglibatan generasi muda hari ini terutama pelajar sekolah dalam bidang tersebut dilihat kurang.
“Minat dan galakan perlu dipupuk dari kecil kerana robotik dapat melahirkan generasi berinovasi dan kreatif. Disebabkan itu, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diperkenalkan.
“Begitupun, masih ramai tidak mengendahkannya. Diharap ibu bapa dan guru dapat memberi sokongan agar anak-anak meminati bidang robotik.
“Berbeza dengan negara maju kerana bidang ini telah dijadikan mata pelajaran di sekolah atau aktiviti kurikulum tambahan,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Cetus minat berterusan
Seng Yau yang juga Pengarah Myrobotz Enterprise turut menjelaskan, menceburi bidang robotik tidak hanya terhad kepada pembelajaran secara akademik tetapi pelajar juga akan berlatih kemahiran cara berfikir dan bekerja untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Menurutnya, sebagai perantara pertandingan robotik, pihaknya mengharapkan lebih ramai yang menceburi bidang berkaitan robot.
Beliau turut berharap pertandingan yang telah dan akan dianjurkan terus mencetus minat anak muda meminati bidang robotik terutama di usia muda.
“Sudah tiba masanya rakyat negara ini menghasilkan robot menerusi kepakaran anak tempatan kerana dalam beberapa tahun lagi robot bukan lagi perkara asing dalam kehidupan harian.
“Jadi pelapis muda diperlukan untuk menjadi pencetus pereka cipta yang terlibat secara langsung dalam sektor teknologi robot.
“Pada masa sama, tidak dinafikan pelajar juga perlu menyeimbangkan akademik dan kemahiran lain kerana dunia semakin maju,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai penglibatannya pada Karnival Pendidikan Sinar Bestari yang akan berlangsung pada 8 hingga 10 September ini, Seng Yau berkata, ia adalah platform pelajar membuktikan kebolehan masing-masing dalam bidang robotik.
Jelasnya, sepanjang pertandingan berlangsung, selain belajar mengenai pengendalian robot, sistem automasi dan penggunaan perisian, ia juga memperkenalkan aspek kerja berpasukan.
Krarnival Pendidikan Sinar Bestari Myrobotz Enterprise bekerjasama dengan Karangkraf menganjurkan pertandingan robotik sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Pertandingan robotik terbahagi kepada dua kategori iaitu sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
1) Pendaftaran terbuka kepada semua sekolah.
2)Menyasarkan penyertaan sebanyak 32 sekolah rendah dan 32 sekolah menengah.
3) Hadiah ditaja oleh Bank Rakyat.
4) Johan akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM600.
5) Tempat kedua sebanyak RM450.
6) Tempat ketiga RM300.
7) Dua hadiah saguhati sebanyak RM50 bagi setiap sekolah.