Sebagai tokoh pejuang kemerdekaan negara.
Sebagai tokoh pejuang kemerdekaan negara.

Selain Mat Kilau, 5 lagi Pahlawan Tanah Melayu yang perlu generasi muda kenali

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 Aug 2023 09:54am

Jika ditanya generasi muda hari ini nama-nama Pahlawan Tanah Melayu, mungkin hanya segelintir sahaja mampu menjawabnya.

Nama-nama seperti Hang Tuah, Hang Jebat dan Bendahara Tun Perak sudah tentu diingati kerana banyak cerita mereka dijadikan filem atau drama oleh pengarah di Malaysia.

Bagaimana pula dengan kisah Pahlawan Tanah Melayu yang lain? Adakah pelajar atau generasi muda hari ini mengenali tokoh-tokoh tersebut?

Berikut lima pahlawan Tanah Melayu yang telah memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah.

Sinar Bestari kongsikan serba sedikit latar belakang tokoh pahlawan ini sebagai pengetahuan para pembaca semua.

Selamat menghayati perjuangan mereka.

1) Dato’ Maharaja Lela

Pandak Lam Bin Maharaja Lela Maulud adalah nama sebenar buat individu yang memegang gelaran Dato’ Maharaja Lela ini. Dato’ Maharaja Lela adalah satu gelaran yang tidak asing dalam lembaran sejarah negeri Perak.

Artikel Berkaitan:

Kisah pembunuhan J.W.W. Birch yang melibatkan Dato’ Maharaja Lela di Pasir Salak amat popular dalam lembaran teks sejarah negeri Perak. Ramai yang berpendapat peristiwa itulah merupakan detik bermulanya kebangkitan orang-orang Melayu di Tanah Melayu.

Pandak Lam atau Dato’ Maharaja Lela mempunyai peranan yang amat penting dalam menentang kerajaan British di negeri Perak. Pandak Lam adalah antara individu yang terlibat dalam merancang pembunuhan J.W.W. Birch yang merupakan Residen British pertama di negeri Perak. Selain itu, antara mereka lain yang terlibat adalah Dato’ Sagor dan Ngah Kandin.

Malangnya, beliau telah dihukum gantung sehingga mati pada 20 Januari 1877 di Taiping bersama-sama dengan Dato’ Sagor yang terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch.

2) Tok Janggut

Haji Mat Hassan bin Mat Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut ialah seorang ulama dan juga pahlawan Melayu yang sanggup menggadai nyawa demi melawan British.

Dilahirkan pada 1853 dan berasal dari Kampung Jeram, Pasir Puteh, tokoh ini adalah antara penentang British pada awal tahun 1900-an di Kelantan ketika berlakunya Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.

Menerusi hasil kajian para sejarawan, Tok Janggut pada awalnya seorang ulama yang telah mendalami ilmu pondok sebelum ke Makkah. Di Makkah, beliau telah mempelajari ilmu agama sebelum Perang Dunia Pertama meletus.

Perjuangan Tok Janggut menentang penjajah bermula apabila pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan dari Siam selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909 yang mana membawa kepada banyak perubahan seperti pengenalan kepada cukai.

Beliau dikatakan terbunuh semasa menentang pengenaan cukai oleh British dan lebih menyayat hati apabila mayat beliau telah digantung beberapa hari untuk dipamerkan kepada umum sebelum ditanam di Seberang Sungai, Pasir Pekan.

3) Yamtuan Antah

Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-6. Beliau telah memerintah dari 1869 hingga Oktober 1888 dan telah memperjuangkan Negeri Sembilan daripada dijajah British.

Perjuangan beliau ini katanya bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban).

Bermula daripada itu, British mula melebarkan sayapnya di Negeri Sembilan dan kemarahan orang Melayu makin meluap-luap apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk membuat perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang menawarkan Sungai Ujong di bawah perlindungan penjajah.

Tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, Yamtuan Antah tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong dan sekaligus mencetuskan pertelingkahan hingga membawa kepada beberapa siri pertempuran dengan British.

Beliau yang terpaksa berundur ke Johor akhirnya dinasihatkan untuk berbaik dengan British yang kemudiannya melantik beliau menjadi Yamtuan Besar Seri Menanti sebelum beliau kemudian meninggal dunia pada 1888 dan dimakamkan di Seri Menanti.

4) Dato’ Dol Said

Dato’ Abdul Said bin Omar atau dikenali sebagai Dol Said merupakan penghulu Naning yang ke-9. Perang Naning yang berlaku pada tahun 1831 telah menjadikan beliau seorang pahlawan yang mengukir sejarah.

Berasal daripada suku Semelenggang, Dol Said mewarisi Penghulu Anjak sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 ketika berumur 26 tahun. Kemudian pada 1802, Kolonel Taylor telah melantik beliau menjadi Penghulu Naning dengan syarat beliau mesti menggunakan cap mohor syarikat Inggeris.

Sehingga campur tangan Koloner Faquhar pada 1807, Penghulu Naning dibenarkan mentadbir Naning termasuklah dalam urusan hukuman mati. Namun campur tangan kolonel itu menyebabkan kuasa hukuman mati diserahkan kepada kerajaan negeri.

Penentangan Dol Said terhadap Naning bermula dari tahun 1831 hingga 1832 disebabkan beberapa perkara seperti ingin mempertahankan kemerdekaan Naning (semasa Belanda menyerahkan Melaka kepada British dan mendakwa Naning sebahagian Melaka namun rakyat Naning menolak dakwaan itu), menentang pembayaran cukai dan perlaksanaan undang-undang British yang telah menggugat pengaruh dan kuasa Dol Said di Naning.

Sepanjang setahun tempoh penentangan, telah berlaku dua peperangan yang mana salah satunya Dol Said berjaya mengalahkan British. Manakala bagi perang kedua pada 1832, Dol Said akhirnya menyerah diri kepada British. Beliau meninggal dunia pada 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.

5) Mat Lela

Mat Lela bin Buang berasal dari Kampung Luit, Maran, Pahang dan merupakan sahabat baik kepada Mat Kilau. Kedua-duanya seperti kita tahu mempunyai ilmu kepahlawanan yang hebat tetapi Mat Lela lebih gemar berahsia dan tidak suka menonjol.

Menurut KuantanLoka, sewaktu zaman penjajahan Jepun 1941, orang-orang kampung telah melarikan diri ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri, namun Mat Lela tidak berbuat demikian dan menentang Jepun seorang diri.

Pada ketika itu, tiada rumah mahupun kedai yang berjaya diselongkar Jepun kerana pergerakan mereka sering terhalang. Mereka juga tidak mampu menangkap Mat Lela kerana jasadnya pun tidak dapat dilihat di mana-mana. Dengan itu, ramai askar Jepun berjaya dicederakan dan mereka akhirnya berundur.

Mat Lela dilaporkan telah meninggal dunia pada tahun 1995 pada usia 118 tahun akibat sakit tua. Jasadnya dikebumikan di pusara Kampung Merchong, Nenasi, Pekan.

Terdapat ramai lagi pahlawan-pahlawan Tanah Melayu yang handal dan berani. Apa yang kami kongsikan ini hanya segelintir sahaja.

Diharapkan para pelajar memahami dan menghargai semua jasa pahlawan dan seterusnya meneladani sikapnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp