No Image Caption

Selamat bersara Cikgu Che Rozi

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
25 Jun 2024 05:29pm
A
A
A

Majlis persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 18 (1), Putrajaya, Cikgu Che Rozi Hassan berlangsung meriah dengan kehadiran 2,400 warga sekolah termasuk pegawai Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada Jumaat.

Beliau yang bersara pada usia 58 tahun, telah diarak menaiki kereta klasik sempena hari terakhir perkhidmatannya sebagai guru besar.

Turut diadakan, beberapa aktiviti dan persembahan menarik daripada warga sekolah khas untuk Cikgu Che Rozi dalam program dipanggil Majlis Lambaian Kasih Sanjungan Budi.

Selain itu, pihak sekolah juga menganjurkan kenduri kesyukuran dengan menumbangkan seekor lembu dan dua ekor kambing sempena jamuan persaraan guru besar mereka.

Terdahulu, Cikgu Che Rozi merupakan seorang pendidik yang sangat komited, penyayang, pemurah, baik hati dan tegas dalam dunia pendidikan dan pentadbiran.

Beliau telah berkhidmat di beberapa buah sekolah antaranya SK Tanah Puteh, Serian, Sarawak.

Khidmat baktinya sentiasa ditagih lantaran ciri-ciri kepimpinan dan semangat yang sentiasa membara serta tidak pernah mahu mengalah.

Sesungguhnya, jasa dan budi Cikgu Che Rozi dalam dunia pendidikan akan dikenang sampai bila-bila.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok