
Tenanglah cikgu di sana...Jasamu akan terus hidup dalam ingatan kami
Guru Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya, Sibu, Sarawak dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat, 13 Jun 2025 bersamaan 16 Zulhijjah 1446H.
Pemergian Cikgu Wan Shapiee Wan Hadion secara tidak langsung telah meninggalkan kesan cukup mendalam dalam kalangan warga pendidik, pelajar dan seluruh komuniti sekolah.
Menurut kenyataan rasmi Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di Facebook, arwah merupakan seorang guru yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab, sentiasa menjadi teladan kepada rakan setugas dan disayangi oleh para pelajarnya.
Di media sosial, ucapan takziah serta doa mengiringi pemergian arwah.
Ada yang berkongsi kenangan semasa belajar dengannya dan tidak kurang juga mendoakan agar segala ilmu dicurahkan oleh arwah menjadi amal jariah berterusan dan mengalir sebagai pahala yang tidak putus-putus.
Kami di Sinar Bestari turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.
Semoga mereka diberikan ketabahan, kekuatan dan keikhlasan hati dalam menghadapi kehilangan ini.
Al-Fatihah.