No Image Caption

Titipan nasihat seorang guru kepada murid 3M agar hadir ke sekolah, ramai sebak!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
07 Apr 2023 04:22pm

Situasi anak-anak ‘kurang berminat’ untuk hadir ke sekolah adalah perkara biasa yang sering berlaku dalam kalangan murid-murid.

Ini kerana ada antara mereka enggan ke sekolah dek faktor yang pelbagai seperti penat, gagal menyiapkan kerja sekolah, takut dengan cikgu dan sebagainya.

Menurut Guru Pemulihan Khas Sekolah Kebangsaan Tenglu, Mersing, Johor, Cikgu Roslee Abdul @ Mohd, murid-murid perlu diberi kata-kata motivasi setiap hari bagi menggalakkan mereka untuk pergi ke sekolah.

“Ibu bapa dan penjaga merupakan individu yang paling rapat dengan anak-anak. Mereka memainkan peranan penting dalam memastikan anak ke sekolah setiap hari. Namun begitu, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang berdepan masalah anak-anak enggan menuntut ilmu.

“Justeru, saya sebagai Guru Pemulihan Khas terpanggil untuk berkongsi kata-kata semangat khusus kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang belum menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) serta tidak mahu ke sekolah.

“Diharapkan nukilan ini mampu membantu ibu bapa dan penjaga di luar sana berhubung situasi anak yang enggan hadir dan belajar di sekolah,” ujarnya.

*****

Saya sebagai guru yang mengajar murid 3M mengharapkan supaya ibu bapa dan penjaga berkongsi dengan penuh kasih sayang kepada anak tentang cerita baik, kisah ceria, episod hebat dan babak indah hadir dan belajar di sekolah.

Artikel Berkaitan:

Jangan dibohongi dengan kata-kata menakutkan seperti ramai cikgu garang di sekolah, nanti kena marah jika tidak menyiapkan kerja sekolah dan sebagainya..

Ingatlah wahai ibu bapa dan penjaga, setiap kata-kata 'membunuh' itu pasti menyebabkan anak-anak lebih bersifat 'mahu selamat duduk rumah'.

Wahai ibu bapa, khabarkan, ceritakan dan sampaikan kepada anak untungnya belajar di sekolah.

Khabarkan yang semua cikgu baik, penyayang, sentiasa membimbing, mengajar dengan ceria, wibawa dan menarik.

Ceritakan kepada mereka juga betapa seronoknya belajar kerana guru sentiasa mengambil berat tentang anak-anak didiknya.

Sampaikan kepada anak, cikgu akan tetap mengajar dengan kasih sayang. Cikgu akan bimbing mengenal A, B, C, 1, 2, 3 hingga boleh membaca dan mengira tanpa membezakan anak siapa.

Lontarkan keyakinan, cikgu akan mengajar bukan sahaja menulis, membaca dan mengira tetapi cikgu akan mengajar kemahiran bertutur, menari, bersilat, bola sepak, bola jaring dan apa sahaja yang anak minat.

Bisikkan kepada anak-anak juga, apabila tidur mimpikan belajar dengan cikgu. Terima kasih kepada cikgu dan tanamkan keterujaan untuk terus hadir ke sekolah kerana ingin belajar.

Pandangan yang positif mengenai guru pastinya akan melonjakkan keyakinan anak-anak untuk hadir ke sekolah.

Sekolah bukan sahaja tempat kemenjadian anak-anak dalam akademik tetapi juga kemenjadian dalam sahsiah dan kokurikulum.

Jadikan generasi hari ini sebagai anak serba boleh. Jangan terlalu berharap mahukan semua anak pandai akademik yang akhirnya jika tidak mencapai sasaran akan mengecewakan diri sendiri dan anak.

Percayalah pada guru. Guru tahu seimbangkan antara akademik, sahsiah dan kokurikulum.

Sebab itulah mulai sekarang keraplah khabarkan, ceritakan, sampaikan, lontarkan keyakinan dan bisikkan kepada anak-anak yang guru ialah ibu bapa di sekolah.

Tanamkan yang baik-baik dalam lubuk hati anak-anak dan kisahkan sekolah itu ialah tapak untuk merealisasikan potensi diri mereka.

Semaikan rasa ceria dan selesa dengan guru dan sekolah. Pastinya guru juga akan merasai bahagianya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp