No Image Caption

Tular bapa marah sebab anak kena kad merah

NORAFIDAH ASSAN
09 Jul 2024 04:32pm
A
A
A

"Marah benar pakcik ni bila anak dia kena kad merah sampai nak masuk padang".

Itu antara kapsyen sebuah video tular di media sosial yang memaparkan seorang lelaki dipercayai bapa kepada salah seorang pemain bola sepak mengambil sebatang objek panjang yang berada di tepi padang sebelum menuju ke padang perlawanan.

Tindakan lelaki dalam video berdurasi 1:28 saat itu dipercayai kerana tidak berpuas hati apabila anaknya dikenakan kad merah dalam pertandingan sukan popular tersebut yang berlangsung di sebuah sekolah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas berjaya menghalangnya sebelum objek berkenaan dirampas dari tangan lelaki tersebut.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan dilihat sekali lagi mengangkat sebatang objek pada penghujung video namun anggota Rela sempat menenangkannya.

Berdasarkan komen netizen, kebanyakannya kurang senang dengan tindakan bapa berkenaan yang dilihat agak beremosi selain menyarankan anaknya itu menyertai sukan lain.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), Datuk Dr Roslan Hussin ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan, keadaan ketika kejadian adalah terkawal dan tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Menurutnya, liga ini adalah anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di mana jadual perlawanan melibatkan beberapa veneu lain seluruh Malaysia.

"Pengadil setiap perlawanan dilantik oleh pihak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan bukan dalam kalangan guru Negeri Sembilan. Pihak sekolah telah mempersiapkan kawalan dan tindakan keselamatan terutama bagi menjaga kerenah penyokong luar padang.

"Perkhidmatan Rela dan polis bantuan telah ada dan prosidur kawalan keselamatan juga diikut bagi menangani keadaan seperti ini yang mana penganjuran pertandingan sepenuhnya dari pihak KPM dan JPNS hanya sebagai salah satu veneu," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kejadian tersebut telahpun selesai secara baik dan berharap ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Pertamanya, kita harus beri kepercayaan kepada pengurusan pemainan itu, maksudnya pengadil, kita sebagai ibu bapa beri kepercayaan penuh kepadanya kerana dia akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengadil perlawanan.

"Sekiranya rasa tak puas hati dan sebagainya boleh berbincang melalui medium-medium yang bersesuaian dan berkenaan, jangan megambil tindakan di luar kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan kepada pemain, penonton dan sebagainya," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok