Tular video murid sedih kuih raya tidak berusik, cikgu bijak kawal keadaan
Menjadi seorang guru bukan hanya menggalas tugas untuk mendidik anak murid memahami setiap topik dan silibus dalam sesuatu pembelajaran, tetapi turut memainkan peranan menerapkan nilai-nilai murni bagi melahirkan generasi yang berilmu serta berakhlak.
Tugas dan tanggungjawab guru amat besar dan mereka hendaklah lebih peka serta cakna selain mempunyai jati diri yang jitu bagi menzahirkan akhlak yang cantik agar dapat dijadikan contoh terbaik.
Melihat kepada konteks ini, Sinar Bestari tertarik untuk berkongsi satu video yang tular di aplikasi TikTok oleh seorang guru bernama Faris Farhan Sidek yang memaparkan situasi seorang murid menangis kerana kuih raya dibawa tidak disentuh dan dimakan oleh rakan-rakannya.
Murid lelaki yang memakai baju Melayu berwarna biru gelap itu kelihatan kecewa kerana kuih raya yang dibawa sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di sekolahnya tidak dijamah oleh sesiapa.
Sedih melihat situasi berkenaan, Cikgu Faris mengambil pendekatan untuk memujuk murid tersebut dan bertanya yang mana satu kuih dibawanya.
“Mari sini, tunjuk yang mana satu kuih awak bawa? Tunjukkan dekat cikgu, biar cikgu makan.
“Okey semua jom makan kuih ini,” katanya di dalam video yang tular itu sambil membawa murid tersebut berjalan ke arah meja.
Rakaman video berdurasi 31 saat itu telah membuatkan rata-rata warga maya tersentuh melihat keprihatinan Cikgu Faris dalam menjaga hati anak muridnya.
Sinar Bestari sempat memetik beberapa komen warga maya, antaranya,
Ramlie Danish: Terima kasih cikgu sebab pandai ambil hati murid. Sesiapa pun akan sedih jika apa yang kita bawa tidak dimakan. Terbaik cikgu.
Nad Nazirah: Alhamdulillah dapat cikgu yang baik dan pandai ambil hati murid.
Diera: Bagus cikgunya. Faham perasaan anak murid. Semoga murah rezeki cikgu sekeluarga dan pada anak murid itu semoga awak menjadi anak yang berjaya.
Melly: Sedihnya, terima kasih cikgu pandai kawal keadaan.
Sehingga kini, perkongsian video tersebut telah mencatatkan 5.2 juta jumlah tontonan, 716,900 tanda suka dan 39,300 komen yang rata-ratanya mengucapkan terima kasih kepada Cikgu Faris di atas tindakan bijak mengawal situasi yang berlaku.