10 hari terawal Zulhijjah merupakan antara hari terbaik beramal soleh sehinggakan pahalanya melebihi pahala berjihad. Gambar kecil: Ustaz Zaidi.
10 hari terawal Zulhijjah merupakan antara hari terbaik beramal soleh sehinggakan pahalanya melebihi pahala berjihad. Gambar kecil: Ustaz Zaidi.

Ustaz Zaidi SAMBEST kongsi kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Jun 2023 09:30am
A
A
A

Memandangkan ketika ini umat Islam berada dalam bulan Zulhijjah, Sinar Bestari terpanggil untuk berkongsi beberapa info penting berkaitan kelebihan bulan tersebut terutamanya pada 10 hari terawal ini.

Justeru, wartawan Sinar Bestari telah menghubungi Ketua Panitia Usul Al Din, Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Selangor, Ustaz Zaidi Masri bagi mendapatkan pandangan beliau tentang keistimewaan Zulhijjah.

Menurutnya, terdapat tiga kelebihan bulan Zulhijjah sepertimana yang telah diceritakan dalam hadis Nabi Muhammad SAW.

“Yang pertama, Nabi Muhammad telah memberitahu kita bahawa 10 hari terawal bulan Zulhijjah merupakan antara hari yang terbaik beramal soleh sehinggakan pahala yang diperolehi melebihi pahala berjihad.

Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ: وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya: “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh ALLAH untuk dilakukan melainkan hari-hari ini baginda memasukkan 10 hari terawal Zulhijjah.

“Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya? Baginda bersabda: Walaupun jihad di jalan ALLAH tidak dapat menandinginya, melainkan seorang lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.” (Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438),Ibn Majah (1727),al-Tirmizi (757).

Artikel Berkaitan:

Kelebihan kedua, menurut Ustaz Zaidi, Rasulullah telah menerangkan kepada umat Islam yang Hari Arafah merupakan hari kesembilan dalam bulan Zulhijjah dan ini adalah antara hari yang terbaik untuk berdoa.

Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْر

Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada Hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah tidak ada yang berhak disembah selain ALLAH yang satu, tidak ada sekutu bagiNya, milikNya kekuasaan dan milikNya segala pujian dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.” (Hadis Riwayat al-Tirmizi, hadis Hasan).

Sambung Ustaz Zaidi lagi, kelebihan ketiga pada 10 hari terawal bulan Zulhijjah adalah hari terbaik untuk kita memperbanyakkan zikir kepada ALLAH.

Sabda Nabi SAW:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ

Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi ALLAH dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi ALLAH daripada 10 hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.” (Hadis Riwayat Ahmad).

“Dengan pencerahan dari hadis Nabi SAW, wajarlah kita merebut peluang dan kesempatan yang telah ALLAH berikan kepada kita sebagai bekalan menuju ke alam yang abadi,” ujarnya yang sudah berkhidmat selama 25 tahun dalam dunia pendidikan.

Selain kelebihan bulan Zulhijjah, Ustaz Zaidi turut berkongsi beberapa amalan yang sebaiknya dilakukan oleh umat Islam dalam bulan ini.

Antara amalan itu ialah berpuasa, beribadah di malam hari (Qiamullail), perbanyakkan solat sunat, berbuat baik pada ibu bapa, memperbanyakkan bacaan al-Quran, bertutur tentang perkara-perkara yang baik, membantu orang susah dan memberi infaq serta memperbanyakkan zikir.

Dalam pada itu, Ustaz Zaidi turut menyarankan agar pihak sekolah mengadakan aktiviti dan program yang bersesuaian dalam memberi kefahaman dan mentarbiah warga sekolah menghayati keistimewaan bulan Zulhijjah.

“Mungkin sekolah boleh melaksanakan aktiviti seperti program sembelihan, ceramah perdana, motivasi, Qiamullail, puasa sunat jamaie dan majlis Korban Perdana.

“Dengan adanya aktiviti sebegini, ia semestinya dapat memberi pengajaran dan pengalaman terbaik kepada seluruh warga sekolah,” tuturnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok