Sebahagian pelajar SAMBEST yang merangkul keputusan cemerlang dalam SPM 2022 baru-baru ini.
Sebahagian pelajar SAMBEST yang merangkul keputusan cemerlang dalam SPM 2022 baru-baru ini.

30 calon peroleh 11A SPM 2022! Pengetua kongsi rahsia SAMBEST capai GPS 1.22

ROSHLAWATY MD RAIEH
19 Jun 2023 05:17pm
A
A
A

Mencapai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.22 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 sudah cukup membuktikan segala penat lelah warga Sekolah Agama Menengah Bestari (SAMBEST) Subang Jaya, Selangor berbaloi.

Ini kerana memperoleh GPS 1.22 bukan semudah petik jari sebaliknya ia memerlukan banyak pengorbanan dalam pelbagai sudut.

Menurut Pengetuanya, Mohamad Zainul Arifien Mohd Jaid, pencapaian yang cemerlang itu membolehkan SAMBEST muncul sebagai sekolah terbaik kategori Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) berdasarkan GPS 1.22.

“Pencapaian GPS 1.22 dengan 100 peratus lulus merupakan pencapaian terbaik SAMBEST.

“Daripada 104 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2022, seramai 30 pelajarnya memperoleh keputusan semua A iaitu 11A yang mana salah seorang daripada calonnya, Muhammad Khairussyakirin Khairuddin mendapat 11A+.

"Ini adalah berita yang sangat menggembirakan seluruh warga sekolah. Terima kasih kepada semua yang telah berkorban apa sahaja demi kecemerlangan para pelajar,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Bestari baru-baru ini.

Cikgu Mohamad Zainul Arifien ketika mengumumkan keputusan peperiksaan pada Khamis di sekolah berkenaan.
Cikgu Mohamad Zainul Arifien ketika mengumumkan keputusan peperiksaan pada Khamis di sekolah berkenaan.

Cikgu Mohamad Zainul Arifien berkata, kejayaan membanggakan itu sebenarnya tidak dilalui dengan begitu mudah.

Beliau menyifatkan kerjasama daripada pelbagai pihak merupakan elemen penting dalam kejayaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang memberi sokongan padu dalam pelbagai sudut seperti kewangan dan membantu dalam penyelenggaraan demi keselesaan pelajar amat kami hargai.

“Malah, kerja keras para guru dan calon itu sendiri serta sokongan dan dokongan daripada barisan pentadbir juga antara kejayaan besar SAMBEST dalam SPM 2022,” ujarnya.

Muhammad Khairussyakirin merupakan satu-satunya pelajar SAMBEST yang mendapat 11A+ dalam SPM 2022.
Muhammad Khairussyakirin merupakan satu-satunya pelajar SAMBEST yang mendapat 11A+ dalam SPM 2022.

Selain itu, kata beliau, antara rahsia kejayaan anak-anak SAMBEST juga adalah keberkesanan guru-guru dalam mengenal pasti kekuatan dan kelemahan para pelajar.

“Pelajar yang lemah akan diberi bimbingan khas secara individu atau dalam kumpulan kecil manakala kumpulan pelajar yang cemerlang akan terus diberi latihan pengukuhan.

“Dari situ jadual pembelajaran secara terancang telah disusun dengan jadual pembelajaran bermula seawal 6:40 pagi iaitu Kelas Fajar hingga 10 malam secara berjadual.

No Image Caption

“Program guru muda yang dilaksanakan juga sangat membantu apabila pelajar yang cemerlang mampu membantu rakan-rakan yang lemah. Kesanggupan yang tinggi dalam membantu rakan-rakan membuktikan bahawa mereka ingin berjaya bersama-sama,” ujar pengetua ini yang berharap kejayaan itu dapat diteruskan seiring dengan moto sekolah iaitu Akademik Cemerlang Sahsiah Gemilang dalam melahirkan generasi ilmuan yang seimbang.

Semoga kejayaan berkenaan menjadi dorongan kepada calon SPM 2023 untuk terus cemerlang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok