2 universiti bergading bahu hasilkan graduan miliki kombinasi Islam dan budaya
2 universiti bergading bahu hasilkan graduan miliki kombinasi Islam dan budaya

2 universiti bergading bahu hasilkan graduan miliki kombinasi Islam dan budaya

Roshlawaty Md Raieh
10 Jan 2023 05:35pm
A
A
A

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berhasrat mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menumpukan usaha membangun pengajian tinggi berfokuskan Pengajian Islam dalam bidang sealiran antara kedua-dua universiti terbabit.

Menurut Naib Canselor USIM, Profesor Ts Dr Sharifudin Md Shaarani, universiti itu mengaplikasikan pendekatan seimbang antara aspek jasmani dan rohani serta menerapkan pendekatan holistik ke arah penyampaian ilmu yang mengintegrasikan ilmu wahyu (naqli) dan ilmu yang dituntut (aqli).

“USIM berhasrat menjadi universiti yang dikenali sebagai ‘Friend of Borneo’ dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak.

“Ini mengambil kira terdapat beberapa kepakaran yang USIM miliki boleh ditawarkan kepada masyarakat di Sabah menerusi kerjasama dengan UMS.

“Sebagai contoh, kampus ini berhasrat menerapkan bagaimana elemen-elemen nilai dalam Islam itu boleh mengangkat konsep pelancongan selamat,” jelasnya dengan menambah kerjasama ini bakal membolehkan lebih ramai anak-anak dari Sabah dapat mengikuti kursus-kursus berfokuskan kepada jurusan Islam di Sabah tanpa perlu ke Semenanjung Malaysia atau luar negara.

Delegasi USIM dan UMS mengadakan perbincangan di Pejabat Naib Canselor UMS.

Delegasi USIM ke UMS yang diketuai Sharifudin baru-baru ini, turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Mohd Radhi Ibrahim; Pendaftar, Datuk Muhammad Haizuan Rozali; Penolong Naib Canselor (Penjanaan dan Kelestarian Kewangan), Profesor Madya Dr Asmaddy Haris dan Pegawai Khas Naib Canselor, Mohd Saifullah Zulkapli.

Manakala UMS pula diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor; Pendaftar, Luqman Ridha Anwar; Dekan Fakulti Pengajian Islam, Profesor Dr Mohd Dahlan Abd Malek dan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr Jakaria Dasan.

Sementara itu, Kasim berkata, salah satu daripada cadangan kerjasama itu adalah bagaimana kedua-dua buah universiti dapat berganding bahu menghasilkan graduan atau modal insan yang mempunyai kombinasi Islam dan budaya.

“Untuk merealisasikan kerjasama berkenaan, UMS melalui Fakulti Pengajian Islam bakal menggalas usaha ini bersama dengan USIM dalam memperkasakan lagi graduan kelahiran fakulti tersebut.

“Saya berharap kerjasama ini akan berjalan dengan baik kerana penerapan nilai-nilai Islam dalam bidang akademik semakin diterima oleh masyarakat global sebagai penyelesaian kepada pelbagai masalah masyarakat,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

Senarai IPTA/IPTS terbaik negara dan jurusan popular masa kini

Dr Khairul Anuar bikin sistem bumbung mesra alam guna sisa buangan kelapa sawit

Kurangkan beban guru, beri peluang pelajar uruskan aktiviti sekolah 


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok