“Alhamdulillah, jumlah fabrik terpakai melebihi sasaran” - Muhammad Nabil
“Alhamdulillah, jumlah fabrik terpakai melebihi sasaran” - Muhammad Nabil

“Alhamdulillah, jumlah fabrik terpakai melebihi sasaran” - Muhammad Nabil

Roshlawaty Md Raieh
10 Jan 2023 11:36am
A
A
A

“Kita sasar 1,000 kilogram (kg) fabrik terpakai dapat dikumpul namun jumlah itu telah melebihi sasaran, alhamdulillah.” Demikian menurut Pengarah program amal ‘Sustainable Engagement Project (SEP) Bajurity: Recycle for Charity’, Muhammad Nabil Yusjah berkenaan kutipan fabrik terpakai yang akan dikitar semula bagi tujuan amal.

Muhammad Nabil memberitahu, sebanyak 1,285.74 kg fabrik terpakai telah berjaya dikumpul sekumpulan pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Debat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

“Mereka hanya mengambil masa empat hari untuk mengumpul jumlah tersebut dan ia adalah satu pencapaian yang membanggakan,” ujarnya.

Berkongsi mengenai ‘SEP Bajurity: Recycle for Charity’ Muhammad Nabil berkata, program tersebut bertujuan mendidik warga kampus dan komuniti setempat untuk membudayakan aktiviti mengitar semula barangan fabrik terpakai dengan menukarkan ia menjadi sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat.

“Setiap tahun kita dapat lihat berlakunya peningkatan sisa fabrik terpakai di tapak pelupusan sampah termasuklah di kolej-kolej kediaman UTHM.

“Sebahagian sisa ini boleh diguna semula bagi membantu golongan memerlukan sekali gus menyumbang kepada kelestarian bandar selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 11 (SDG),” ujarnya dengan menambah sebuah tong kitar semula fabrik telah ditempatkan di kafeteria Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP), UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Johor bagi mengumpul fabrik yang tidak diperlukan.

Sebahagian peserta dan tetamu jemputan yang mengikuti program amal ‘SEP Bajurity: Recycle for Charity’.

Sementara itu, pelancaran program amal ‘SEP Bajurity: Recycle for Charity’ yang turut mendapat kerjasama beberapa pihak seperti Kloth Malaysia Sdn Bhd, Genesys Eco Resources, KKKP, Kelab Teknologi Kejuruteraan (ETeC) dan Sekretariat Rukun Negara (SRN) UTHM telah disempurnakan oleh Timbalan Pengetua 1 KKKP, Dr Mohd Faisal Hushim dalam satu majlis ringkas, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, beberapa perkongsian turut dikongsi oleh panel jemputan yang terdiri daripada Eksekutif Pembangunan Produk dan Operasi, Kloth Malaysia Sdn Bhd, Ummi Maisarah Nasaruddin dan Pengarah Urusan merangkap Pengasas Genesys Eco Resources, Wan Muhamad Idham Wan Mahdi.

Dalam pada itu, penasihat program, Mohd Syahir Anwar Hamzah pula berkata, ‘SEP Bajurity: Recycle for Charity’ yang baru kali pertama diadakan selepas pandemik telah mendapat sambutan sangat menggalakkan daripada warga kampus.

“Saya berharap program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan warga universiti dan komuniti setempat untuk mengitar semula sisa terpakai bagi mewujudkan ekosistem persekitaran yang lebih lestari,” ujarnya.

Artikel berkaitan 

KPM peruntuk 1 hari cuti tambahan sempena Tahun Baru Cina

Kurangkan beban guru, beri peluang pelajar uruskan aktiviti sekolah

Dr Jahid berjaya lengkapkan PhD kedua pada usia 83 tahun


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok