Sisa makanan boleh menghasilkan baja kompos yang menjana pendapatan
Sisa makanan boleh menghasilkan baja kompos yang menjana pendapatan

Baja kompos boleh jana pendapatan

Norliza Wasilan
16 Sep 2022 02:50pm
A
A
A

Tahukah anda bahawa sisa makanan pun mempunyai nilai sekiranya dikitar semula menjadi baja kompos, sekali gus boleh menjana pendapatan?

Menyedari potensi itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah berkongsi idea dan kaedah untuk menghasilkan baja jenis itu kepada komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran mereka menerusi satu bengkel khas.

UniMAP menerusi Fakuti Teknologi Kejuruteraan Awam telah bekerjasama dengan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Beseri, Ruzaini Rais menganjurkan Bengkel Penghasilan Baja Kompos sempena Karnival Anak Muda Merdeka Beseri 2022, baru-baru ini.

Bengkel berkenaan turut membabitkan penyertaan Ketua Program fakulti berkenaan, Profesor Madya Ts Dr Irnis Azura Zakarya; Pensyarah, Dr Tengku Nuraiti Tengku Izhar dan Zaity Syazwani Mohd Odli serta seorang pelajar pasca siswazah.

Menurut Dr Irnis Azura, baja kompos itu dihasilkan dengan kaedah Takakura iaitu menghasilkan larutan penapaian menggunakan tempe dan gula merah yang diperam selama tujuh hari.

Ujarnya, selepas proses peraman selesai, langkah seterusnya ialah menyediakan perumah yang mengandungi tiga campuran.

“Campuran itu membabitkan larutan penapaian yang telah selesai tempoh peraman itu, sekam padi dan juga tanah hitam.

“Seterusnya, masukkan sisa makanan ke dalam perumah yang telah dimasukkan larutan penapaian, sekam padi dan tanah hitam itu ke dalam sebuah bekas,” ujarnya.

Dr Irnis Azura berkata, untuk menghasilkan baja kompos, sisa makanan perlu dimasukkan ke dalam satu bekas berselang seli dengan campuran mengandungi tiga bahan disediakan tadi.

Tambahnya lagi, pengulangan itu perlu dilakukan sehinggalah bekas berkenaan penuh sebelum dibahagikan kepada dua.

“Proses memasukkan sisa makanan itu diulang sehingga bekas penuh dan diubah separuh daripada isinya ke bekas lain sehingga menjadi baja kompos,” ujarnya.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai pembabitkan peserta, beliau memaklumkan seramai 15 suri rumah dan penduduk setempat telah didedahkan dengan kaedah berkenaan.

“Apabila mereka sudah tahu cara untuk menghasilkannya maka baja itu berpotensi untuk dijual selain boleh digunakan untuk tanaman sayur dan landskap (menerusi penanaman pokok),” ujarnya.

Artikel berkenaan

35 mahasiswa UniMAP terima komputer riba

Rezeki majikan di Malaysia! Bakal terima graduan yang lebih bersedia memasuki alam pekerjaan

3 sekolah terima manfaat Unified Digital Library (UDL)


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok