hh
hh

Pendidik perlu jadi suri teladan kepada pelajar - Haim Hilman

Norliza Wasilan
20 Oct 2022 02:00pm
A
A
A

Menjadikan individu berjaya sebagai role model atau suri teladan dilihat satu perkara yang bermanfaat bagi membolehkan seseorang itu mendapat inspirasi untuk berjaya pada masa hadapan.

Lazimnya, kebanyakan daripada kita cenderung untuk menjadikan mereka sebagai salah satu cara meningkatkan motivasi atau pembakar semangat meraih kejayaan.

Melihat pentingnya suri teladan dalam kehidupan, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah, memberi penekanan supaya peranan itu dimainkan oleh warga pendidik.

“Sebagai pendidik, jadilah role model kepada pelajar dan sesiapa yang masuk kuliah nanti akan terinspirasi untuk mencapai potensi diri yang sebenar.

“Ini kerana, setiap perjalanan yang dilalui adalah satu perjuangan dan kita adalah satu pasukan yang bekerja dalam membangunkan agenda agama, bangsa dan negara.

“Universiti akan berusia 50 tahun pada 2034 iaitu 12 tahun dari sekarang, justeru warga kampus perlu berusaha untuk melakukan pelbagai usaha serta membangunkan pelajar secara bersama,” ujarnya ketika merasmikan sambutan Hari Akademia Peringkat UUM 2022 bertemakan Memasyarakatkan Ilmu Menara Gading di Dewan Mu’adzam Shah, baru-baru ini.

Haim Hilman.

Sambutan itu dilakukan bagi menghargai jasa, pengorbanan dan menzahirkan rasa terima kasih kepada warga akademik atas sumbangan ilmu, budi, bakti, peranan dan tanggungjawab mendidik anak bangsa.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Anugerah Hari Akademia kepada Mohamad Yazid Isa (Anugerah Penyelidik Cemerlang); Profesor Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin (Anugerah Penulis Produktif); Iskandar Adon (Anugerah Pendidik Cemerlang) dan Profesor Dr Che Su Mustaffa (Anugerah Akademia Holistik).

Selain itu, pensyarah Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Dr Mohd Alif Jasni pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Akademia Harapan.

Mengulas lanjut, Haim Hilman turut menyeru warga UUM supaya mempunyai impian untuk menjadikan universiti berkenaan menjadi antara 100 terbaik di dunia.

Sehubungan itu, ujarnya, mereka perlu berganding bahu untuk memastikan matlamat yang disasarkan itu tercapai.

“Warga UUM boleh membantu mengangkat agenda universiti misalnya membangunkan program akademik berimpak, meningkatkan pelajar postgraduate, dan meletakkan universiti di kedudukan 100 terbaik dunia.

“Oleh itu, semua pihak perlu menyimpan impian besar, berwawasan jauh, mencontohi universiti lain, mempersiapkan diri dalam konteks penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.

“Hebat mana pun seorang profesor atau pensyarah tidak mungkin kita mencapai apa yang dihasratkan tanpa sokongan pentadbir, jadi kita harus bekerja dan saling melengkapi antara satu sama lain agar anak bangsa mendapat pendidikan terbaik,” ujarnya lagi .

Sementara itu, Mohd Alif ketika mengulas mengenai anugerah diterimanya menyifatkan penghargaan itu sebagai pembakar semangat untuk beliau bekerja keras.

“Anugerah ini menyuntik semangat untuk berkerja lebih kuat dengan melipat ganda usaha serta mengekalkan momentum pada masa akan datang.

“Malah, ucapan Naib Canselor yang sungguh bermakna membuatkan saya menjadi lebih bersemangat untuk berusaha lebih tekun selepas ini,” ujarnya.

Artikel berkaitan

UUM kekal tersenarai dalam QS Global MBA Rangkings 2023

UUM bantu dua kilang peroleh sijil GMP

Hebat Alesyah, tersenarai 10 finalis terbaik dalam anugerah berprestij di dunia


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok