316964585_512291567598864_7859275265889689475_n
316964585_512291567598864_7859275265889689475_n

Kanser limfoma tidak halang guru di Sabah genggam PhD

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
30 Nov 2022 06:21pm

Meskipun diuji kanser limfoma tahap empat, ia tidak mematahkan semangat graduan Doktor Falsafah (PhD) Bahasa Melayu Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syahrin Awang Besar menamatkan pengajian.

Bahkan, lelaki berjiwa besar itu tidak melepaskan peluang menghadiri Majlis Konvokesyen UPM Ke-46 Sidang 2 yang berlangsung di UPM baru-baru ini.

Menurut Dr Syahrin yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beaufort, Beaufort, Sabah, semasa menyambung pengajian di peringkat awal, beliau tidak menyedari berdepan masalah kesihatan malah disahkan menghidap penyakit itu pada Januari lalu.

“Pada tahun akhir pengajian, baru saya mengetahui masalah kesihatan dan perlu menjalani rawatan kemoterapi selama tujuh bulan.

“Saya akui ia memberi kesan terhadap motivasi saya meneruskan pengajian apabila doktor memaklumkan keputusan sehingga menyebabkan hampir tiga bulan tidak sentuh tesis untuk melakukan pembetulan akhir,” katanya.

Dr Syahrin menerima skrol yang disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah. Kredit foto: Facebook UPM

Dr Syahrin memberitahu, dia mendapat kekuatan semula dan berjaya menyelesaikan pembetulan akhir di wad ketika sedang menerima rawatan kemoterapi.

"Kini, sel kanser tersebut telah merebak ke hati, paru-paru dan tulang tetapi saya tetap positif dalam menjalani rawatan." ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Syahrin turut melahirkan rasa syukur kerana isteri, Maznah Musneh dan juga ibunya, Dayang Hamidah Mohd Kassim banyak memberi dorongan serta semangat untuk berjuang sepanjang tempoh pengajian.

“Isteri menjadi kaki untuk bergerak dan peneman saya menyorong kerusi roda di sekitar UPM kerana saya sudah tidak mampu bergerak dengan mudah akibat penyakit ini,” tambahnya.

Dia menambah, dengan adanya pencapaian akademik, ia adalah salah satu cara paling berkesan digunakan sebagai salah satu cara untuk memajukan diri.

Justeru, dia berhasrat agar kesihatan kembali pulih supaya dapat menerbitkan beberapa penulisan dan buku ilmiah bersama penyelianya sekali gus menjadi 'hadiah' kepada khalayak umum.

Di samping itu, sebagai graduan PhD dalam Bahasa Melayu, dia menyeru masyarakat untuk bersama-sama memartabatkan Bahasa Melayu yang kini dilihat semakin pudar dalam kalangan orang-orang Melayu.

“Kalau bukan kita yang memperjuangkan bahasa Melayu, siapa lagi yang akan memperjuangkan bahasa ibunda kita yang dahulunya adalah bahasa lingua franca utama dunia,” ujarnya.

Artikel berkaitan

OKU bukan penghalang capai kejayaan

Pelajar autisme, Nur Arif ingin jadi pensyarah kini pelajar PhD di UIAM

Diuji kehilangan abang sulung, hidap masalah jantung bukan penghalang raih PhD


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp