Untitled design (27)
Untitled design (27)

Karnival Keusahawanan dan Kerjaya buka peluang pekerjaan serta pupuk budaya keusahawanan

Azleenda Sahaludin
25 Nov 2022 04:28pm
A
A
A

Keusahawanan adalah satu budaya yang perlu diterapkan dalam diri bagi mendidik dan memberi dorongan kepada masyarakat tentang kelebihan berniaga.

Menyedari hakikat tersebut, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Majlis Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) telah menganjurkan Karnival Keusahawanan dan Kerjaya Pulau Pinang bermula hari ini hingga 27 November 2022.

Beberapa pelajar memenuhi ruang pentas bagi menyertai kempen keusahawanan.

Menurut Timbalan Naib Canselornya, Profesor Dr Azlinda Azman, karnival ini adalah satu kerjasama yang besar dalam usaha merealisasikan karnival tersebut supaya berjalan dengan lancar.

“Pihak kami juga telah berjaya mengumpulkan hampir 80 usahawan kecil dan sederhana melalui koridor niaga serta 50 pihak industri sebagai pempamer sepanjang tiga hari karnival berlangsung,” katanya kepada Sinar Bestari ketika dihubungi, baru-baru ini.

Jelas Profesor Azlinda, karnival tahun ini dijangka mendapat sambutan meriah memandangkan sudah dua tahun ia terpaksa dibatalkan akibat Covid-19.

Mengetengahkan tema Keusahawanan Satu Budaya, ia adalah untuk memupuk dan meningkatkan budaya usahawan sama ada dalam Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

“Saya sebagai perasmi karnival sangat mengalukan semua pihak terutamanya komuniti luar untuk hadir ke USM bagi memeriahkan kempen keusahawanan ini,” ujarnya.

Selain itu, pihak alumni atau pencari kerja yang sedang mencari peluang pekerjaan dialukan untuk hadir sama ke karnival ini.

Ini kerana tambah Profesor Azlinda, 50 pihak industri turut hadir membuka peluang temu duga buat mereka yang sedang mencari pekerjaan.

“Ia adalah untuk memenuhi keperluan semasa graduan terutamanya dengan persiapan mencari kerja dan informasi tentang sesebuah pekerjaan sebelum bergraduasi bulan depan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, karnival ini juga diadakan bagi mewujudkan peluang kepada usahawan sama ada dalam kalangan pelajar atau dari komuniti luar untuk bersama-sama mempelajari dan meningkatkan kualiti perniagaan masing-masing.

Sementara itu, karnival ini turut dimeriahkan dengan persembahan daripada beberapa artis tempatan antaranya Andi Bernadee dan Kaka Azraff.

Artikel berkaitan

3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT

Nur Aliya rangkul Anugerah Keusahawanan Kolej Komuniti kerana berjaya jana RM15,000 sebulan

Mari sambung belajar dan bina kerjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok