Kepakaran penyelidik UTM dan UiTM dalam teknologi 3D berjaya hasilkan tangan palsu untuk mangsa ragut
Kerjasama antara universiti, hospital dan industri telah berjaya menghasilkan tangan palsu untuk mangsa kes ragut, Siti Nur Azizah Syafriadi, 18 yang kehilangan tangan kanan pada 26 Ogos 2021.
Penghasilan tangan palsu daripada teknologi tiga dimensi (3D) itu merupakan projek penyelidikan dan sinergi antara kepakaran bidang kejuruteraan bioperubatan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Penghasilan produk inovasi yang juga sebagai sebahagian daripada khidmat masyarakat kedua-dua universiti diketuai oleh Penyelidik UTM, Ts Dr Muhammad Hanif Ramlee yang bergandingan dengan Pakar Rehabilitasi Hospital UiTM Puncak Alam, Dr Natiara Mohamad Hashim, Pakar Kejuruteraan Biomekanik Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina UiTM Shah Alam, Profesor Madya Ts Dr Abdul Halim Abdullah dan Pakar Pencetakan 3D, Dr Izhar Abd Aziz dari 3D Gens Sdn Bhd.
Penghasilan tangan palsu ini bermula dengan imbasan 3D ke atas tangan Siti Nur Azizah dan pada bahagian yang mengalami kecacatan untuk mendapatkan geometri yang tepat pada November 2021.
Kemudian, ia disusuli dengan rekaan 3D oleh pakar di UTM dan UiTM menggunakan perisian Computer Aided Design (CAD) yang mengambil masa selama dua bulan untuk menyiapkan rekaan pertama dan seterusnya rekaan tersebut telah dicetak menggunakan mesin pencetak 3D di 3D Gens.
Rekaan ini telah dicuba sendiri oleh Siti Nur Azizah dan mendapati ia mampu memberikan keselesaan serta elemen estetik pada tangan kanannya.
Menurut Muhammad Hanif, produk ini adalah rekaan pertama hasil kerjasama UTM, u dan 3D Gens Sdn Bhd yang akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi memenuhi impian Siti Nur Azizah untuk memiliki tangan palsu sekali gus dapat memberikan senyuman kepadanya dalam meneruskan kehidupan pada masa akan datang.
“Projek kali ini ini bukan hanya sebuah projek penyelidikan, tetapi ia juga adalah projek khidmat masyarakat atau tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana penglibatan kepakaran semua pihak dapat memberikan sinar baharu kepada penerima,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Setakat ini, penghasilan tangan palsu Siti Nur Azizah sudah memasuki fasa ketiga dengan pelbagai bentuk rekaan yang telah dihasilkan.
Hasil rekaan terakhir yang memenuhi kesesuaian kecacatan akan diserahkan sepenuhnya kepada Siti Nur Azizah tidak lama lagi dalam satu majlis rasmi.
Dalam pada itu, Muhammad Hanif juga berkata, dengan menggunakan teknologi terkini, imbasan 3D yang dilakukan terhadap Siti Nur Azizah di bahagian yang mengalami kecacatan dapat menjimatkan masa tanpa sebarang sentuhan dan penggunaan bahan lain seperti yang digunakan dalam kaedah tradisional.
“Ia juga dapat menjimatkan tenaga, bahan dan kos-kos lain dalam pembuatan soket tangan palsu, sesuai dengan peredaran semasa.
"Teknologi yang diguna pakai juga dapat memberikan kemudahan yang lebih efisien dan cepat untuk keselesaan pesakit mengikut kehendak, warna dan ketahanan tanpa perlu menukar bahagian yang lain.
“Jangka hayat dari segi ketahanan soket dan tangan palsu adalah antara dua hingga tiga tahun bergantung kepada reka bentuk inovasi tersebut dan cara penggunaan penerima,” jelasnya.
Artikel berkaitan
UTM hasilkan kaki palsu evolusi baharu dengan teknologi 3D
UPM hasilkan inovasi alat navigasi bantu pesakit demensia
Pensyarah bina aplikasi ‘Track Me’ pantau pergerakan kanak-kanak, jaga keselamatan aset