Khidmat masyarakat pelajar UPM ringankan beban dan beri manfaat kepada komuniti
Khidmat masyarakat pelajar UPM ringankan beban dan beri manfaat kepada komuniti

Khidmat masyarakat pelajar UPM ringankan beban dan beri manfaat kepada komuniti

Roshlawaty Md Raieh
21 Sep 2022 05:57pm
A
A
A

Aktiviti kokurikulum yang diadakan di institusi pengajian tinggi (IPT) bertujuan melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran insaniah.

Mahasiswa akan dapat pelbagai pengalaman sekali gus menguasai kemahiran insaniah di mana dapat membantu mereka ketika memohon pekerjaan dan apabila berada dalam dunia kerjaya yang sebenar kelak.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts Dr Nur Izura Udzir berkata, pelajar universiti ini antara yang cukup aktif dalam kokurikulum.

Terbaharu, kumpulan pelajar Kursus Kokurikulum Berkredit, Bakti Siswa (QKK2101), PKPP, UPM baru sahaja menganjurkan aktiviti khidmat komuniti di Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS), Negeri Sembilan.

Dr Nur Izura berkata, aktiviti khidmat komuniti tersebut sangat bermakna kerana dapat meringankan bebanan, memberi manfaat dan kesejahteraan kepada komuniti tertentu.

“Saya sangat menyokong aktiviti sebegini kerana ia memberi hasil dan impak kepada komuniti yang menerima.

“Ini kerana khidmat komuniti adalah satu aktiviti yang amat penting dalam memupuk perasaan muhibah antara masyarakat dan warga UPM,” ujarnya.

Antara aktiviti dilakukan oleh peserta program di I-AQUAS.

Aktiviti khidmat komuniti yang dijalankan mahasiswa UPM ini adalah salah satu aktiviti di bawah Program Sayangi UPM Ku.

Program Sayangi UPM Ku tersebut melibatkan penyertaan seramai 33 peserta yang terdiri daripada mahasiswa UPM tempatan dan antarabangsa.

Tujuan Sayangi UPM Ku ini dilaksanakan adalah bagi membantu I-AQUAS membaik pulih fasiliti dan lanskap khazanah akuakultur negara yang terjejas akibat pandemik.

Ia juga berobjektif membuat hebahan kepada semua pihak untuk sama-sama cakna dalam membantu I-AQUAS memulihara khazanah akuakultur dan sains akuatik yang terjejas.

Sementara itu, Fasilitator Kursus Bakti Siswa, PKPP, Zaliha Idris memberitahu, aktiviti kesukarelawanan sebegini membolehkan mahasiswa cakna dalam banyak perkara sekali gus dapat melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran insaniah tinggi apabila melangkah keluar selepas bergraduat nanti.

Aktiviti kokurikulum mampu melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi akademik dan kemahiran insaniah.

INFO

Khidmat komuniti adalah terma sinonim bagi mahasiswa UPM yang aktif melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan kesukarelawanan.

Antara khidmat komuniti pelajar yang aktif dijalankan di UPM adalah Kursus Bakti Siswa iaitu salah satu kursus berkredit yang wajib diambil setiap mahasiswa bagi melengkapkan kriteria kelayakan untuk bergraduasi.

Kursus Bakti Siswa ini mencakupi kecemerlangan holistik yang menerapkan elemen-elemen kemahiran insaniah di mana para peserta mendapat bimbingan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dan sekali gus membentuk nilai-nilai kepimpinan sebagai ahli komuniti yang serba boleh.

Intipati kursus ini antara lain merangkumi perancangan komuniti, kaedah pengendalian, pelaksanaan dan penilaian aktiviti bakti siswa.

Artikel berkaitan 

27 pelajar UPM gabung idea dan tenaga teruskan program My Hope

Penyelidik UPM bangunkan teknologi minyak masak terpakai untuk kegunaan antena

Seluhur Budi, Sekalung Kasih Meraikan 50 Tahun UPM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok