WhatsApp Image 2022-06-15 at 1.53.45 PM
WhatsApp Image 2022-06-15 at 1.53.45 PM

MOMENTUS 2022: Pertunjukan dalam talian hasil projek tahun akhir pelajar sarjana muda dan sarjana media UM

Adlan Farhan Azwan
15 Jun 2022 02:15pm
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 120 karya pelajar peringkat sarjana muda dan sarjana, Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi (Universiti Malaya, UM) pelbagai genre melibatkan dokumentari, filem pendek, buku, Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) atau iklan, Podcast dan animasi bakal ditayangkan untuk tatapan umum dalam MOMENTUS 2022.

Menurut Ketua Jabatan, Pengajian Media dan Komunuikasi UM, Profesor Dr Hamedi Mohd Adnan, projek tahunan tersebut melibatkan 78 orang pelajar sarjana dan 42 orang lagi pelajar peringkat sarjana muda.

Tambah beliau, MOMENTUS 2022 dianjurkan bertujuan untuk memberi peluang para pelajar mengetengahkan kreativiti masing-masing berdasarkan minat, kecenderungan dan kepakaran mereka.

Hamedi Mohd Adnan  

“Pihak jabatan tidak mahu mengehadkan kefahaman para pelajar dalam menterjemahkan kreaviti pada projek tahun akhir ini berikutan keperluannya berbanding 20 tahun yang lalu pastinya tidak sama.

“Persembahan MOMENTUS 2022 dapat menterjemahkan hasrat UM untuk memenuhi cabaran dan keperluan serta kemahiran yang diperlukan dalam industri media pada hari ini.

“Program tahunan ini ditayangkan secara online melalui semua pelantar media sosial iaitu Facebook, Twitter dan Instagram,” jelasnya.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Profesor Datuk Dr Danny Wong Tze Ken menegaskan, MOMENTUS 2022 mampu menjadikan pelajar UM lebih berdaya saing.

Danny Wong Tze Ken

“Penganjuran ini yang bertemakan ‘Budaya, Masyarakat dan Media’ merupakan satu lagi pencapaian pelajar UM secara amnya dan para pelajar Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi UM secara khususnya.

“Ia memerlukan mereka berfikir secara kritis dan membuat perancangan rapi bagi mencapai objektif penganjurannya,” katanya lagi.

Sementara itu, salah seorang calon pelajar Sarjana Media, Rosli Mohd Nordin menyifatkan MOMENTUS 2022 sangat mencabar.

“Kami diberi kebebasan memilih genre dan subjek yang ingin diketengahkan, namun untuk merealisasikannya ia memerlukan komitmen yang tinggi.

“Saya memilih genre dokumentari dengan tajuk ‘The Last Bidayuh Ring Ladies’,” ujarnya yang juga merupakan seorang penerbit di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Bercerita mengenai dokumentari tersebut, Rosli berkata, ia menonjolkan kepupusan budaya pemakaian gelang tembaga yang diamalkan oleh wanita etnik Bidayuh di Siburan, Sarawak.

Daripada ribuan wanita yang memakainya, kini hanya tinggal lima orang sahaja masih setia dengan warisan tersebut.

Begitu juga bagi Nizha Periasamy yang memilih genre penerbitan buku dan mengetengahkan subjek senaman Yoga untuk kesihatan.

“Buku bertajuk ‘Terapi Yoga Untuk Kesihatan’ ini berkisarkan sisi terapi melalui teknik pernafasan dan gerakan tubuh badan yang mampu menyumbang kepada kesihatan mental dan fizikal,” terang Nizha yang merupakan bekas wartawan Kosmo.

Sementara itu, Yini Wang yang merupakan pelajar antarabangsa dari China berharap projek tahun akhir ini memberi impak kepada masyarakat tidak sahaja di negaranya tetapi juga di Malaysia.

“Saya memilih subjek Opera Qinqiang yang semakin dilupakan oleh masyarakat di China khususnya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Perkara ini terjadi kerana persaingan pelbagai hiburan yang diperolehi melalui telefon pintar dan media sosial hari ini,” tuturnya.

Selain Yini, antara yang dipersembahkan dalam MOMENTUS 2022 ialah karya calon pelajar sarjana, Nurdianah Jamalal Nurjaddin bertajuk ‘PSA Mental Health Awareness During Covid-19’; Nasi Lemak, Kelazatan Yang Disalah Erti (Ahmad Kamarulzaman Hamid); The Beauty of Baba Nyonya (Zhou Siqi) dan Dough Model (Leije Hao).

Kepada mereka yang ingin menyaksikan karya-karya pelajar-pelajar ini bolehlah layari media sosial :

Facebook: https://www.facebook.com/Momentus-2022-109575078406269

Twitter: https://twitter.com/Momentus2022

Instagramhttps://www.instagram.com/momentusum2022/

Artikel berkaitan

Kueggen harumkan nama UM dan negara dalam sukan karate. Tahniah!

UUM tersenarai 148 universiti terbaik Asia

100 hari memimpin universiti, ini pesanan Naib Canselor kepada warga kampus


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok