ump
ump

Obesiti di kalangan warga universiti, saringan awal atasi risiko penyakit ini

Rasyidah Zulkifi
14 Oct 2022 04:23pm
A
A
A

Obesiti merupakan antara masalah terbesar rakyat Malaysia. Peratusnya meningkat dari hari ke hari. Bahkan isu kesihatan ini turut melanda landskap pendidikan termasuk pusat pengajian tinggi.

Di Universiti Malaysia Pahang (UMP), pusat kesihatannya merekodkan seramai 579 kakitangan telah dikategorikan mempunyai risiko penyakit obesiti tahap satu dan dua, selain ‘abnormal lipid profile’ menerusi saringan kesihatan staf yang dijalankan pada 2020.

Menurut Pengarah Pusat Kesihatan UMP, Dr Khairul Salleh Abdul Basit, hal ini sepatutnya perlu dititikberatkan oleh semua staf bagi memastikan produktiviti kerja tidak terganggu.

Program anjuran UMP bersama beberapa jaringan strategik yang lain.

“Berdasarkan jumlah tersebut, sebanyak 4.97 peratus atau 80 orang staf telah bebas penyakit berisiko pada 2021, manakala bagi 2022 pula, sebanyak 6.39 peratus atau 103 orang staf telah mencapai sasaran melalui saringan kesihatan berkala yang dijalankan oleh pusat kesihatan.

“Selaras dengan Pelan Strategik UMP 2021 hingga 2025, iaitu pengurangan prevalens faktor risiko penyakit tidak berjangkit dalam kalangan staf, pihak kami telah mengorak langkah dengan melaksanakan program I Fit and Eat Right (IFitER) yang memfokuskan kepada program pengurusan berat badan dalam kalangan staf terlibat.

“Bagi siri pertama ini akan melibatkan seramai 80 staf yang terpilih untuk mengikuti program dengan menggunakan modul yang telah dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama enam bulan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Sambungnya, program ini mendapat sokongan dan kerjasama erat Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, Pejabat Kesihatan Daerah Kuantan dan Pejabat Kesihatan Daerah Pekan.

“Saya berharap agar program ini dapat memupuk kesedaran staf akan kepentingan menjaga kesihatan diri bukan sahaja untuk misi menurunkan berat badan semata-mata,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah, Pejabat Kesihatan Daerah Pekan, Dr Shahidan Haron dan Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UMP merangkap Penyelaras Program IFitER, Dr Norhilda Abdul Karim.

Norhilda berkata, pihaknya telah menerima hampir 300 permohonan dalam kalangan staf hanya dalam tempoh 48 jam sahaja, namun hanya 80 peserta dipilih.

“Pemilihan ini dilakukan mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh KKM iaitu 18 tahun ke atas dan mempunyai BMI 25 hingga 35 serta tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.

“Syarat ini sangat penting bagi memastikan tiada risiko yang boleh mendatangkan kecederaan dan perkara yang tidak diingini terjadi kepada peserta.

“Peserta juga akan mengikuti tujuh modul yang telah ditetapkan dan setiap aktiviti peserta akan direkodkan di Mylogbook,” katanya.

Artikel berkaitan 

9 cara menghentikan tabiat makan berlebihan, elak obesiti

UMP hasilkan aplikasi ObeM, pantau pesakit obesiti

Tangani isu obesiti murid, ujian BMI 5-9T berkuat kuasa 21 Mac


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok