Photo 1 (1)
Photo 1 (1)

Pasca Covid-19: Pelajar cenderung sambung pengajian di universiti tempatan berbanding luar negara

Mohd Khairi Mohamad Yusri
17 Dec 2021 10:45am
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 telah mencetuskan perubahan yang besar kepada sektor pendidikan di Malaysia dan seluruh dunia.

Menurut Kajian Destinasi Cambridge International yang dijalankan secara tahunan, ia telah memberi kesan besar terhadap keputusan pelajar untuk memilih destinasi pengajian tinggi setelah menamatkan pengajian rendah.

Kajian yang melibatkan 300 sekolah Cambridge di seluruh dunia mendapati cabaran pandemik yang bermula pada tahun lalu secara signifikannya mempengaruhi pilihan pelajar.

84 peratus sekolah daripada kajian yang dijalankan menunjukkan ramai pelajar mengubah fikiran tentang pilihan pertama untuk destinasi atau universiti bagi menyambung pengajian.

Kebanyakannya disebabkan ketidakpastian, kesukaran perjalanan atau masalah kewangan yang disebabkan oleh pandemik, dengan 62 peratus dari pelajar memilih untuk melewatkan atau menangguhkan pengajian atas sebab yang sama.

Malaysia sebagai destinasi pengajian pilihan

60 peratus daripada pelajar di seluruh dunia memilih Malaysia sebagai destinasi pengajian dengan kos pengajian yang berpatutan.

Ini juga menunjukkan bahawa dengan kedudukan ekonomi global yang merudum, lebih ramai pelajar mencari penyelesaian melibatkan kos yang lebih murah bagi menyambung pengajian di universiti.

Selain itu, kebanyakan pelajar Malaysia memilih untuk kekal di negara ini untuk menyambung pengajian tinggi.

Pengarah Rantau Asia Tenggara dan Pasifik, Cambridge International, Ben Schmidt, berkata, sebelum pandemik, pelajar Cambridge International bagi AS dan A-Level di Malaysia akan terus menyambung pengajian ke destinasi pilihan utama seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (US), Australia dan Singapura.

“Kini, Malaysia telah menjadi destinasi nombor satu bagi pelajar-pelajar ini. Ramai pelajar mengelak untuk menyambung pengajian di US disebabkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi di sana.

“Kita boleh melihat bahawa keputusan yang dibuat adalah berdasarkan keselamatan dan kewangan dan trend ini dilihat akan terus kekal, sama ada dalam tempoh sementara disebabkan pandemik atau menjadi petunjuk untuk trend yang lebih mampan,” katanya.

Hasil daripada kajian yang dijalankan juga menunjukkan subjek yang menjadi pilihan dikalangan pelajar Malaysia, dimana lebih ramai memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan, Matematik, Perubatan dan Perundangan, dengan sebahagian kecil daripada mereka memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Matematik, Perakaunan & Kewangan dan Psikologi.

Minat yang lebih tinggi terhadap bidang Kejuruteraan merupakan petunjuk positif untuk Malaysia, memandangkan negara ini semakin maju menuju kepada Revolusi Industri 4.0 dengan meningkatnya keperluan terhadap jurutera untuk memenuhi cabaran yang mendatang.

Statistik daripada Majlis Kebangsaan bagi Pembangunan Saintifik dan Penyelidikan (MKPSB) menunjukkan Malaysia kini hanya mempunyai 70,000 jurutera berdaftar .

Peluang di United Kingdom dan Australia

Walaupun kesan daripada pandemik ini telah banyak mempengaruhi keputusan pelajar untuk memutuskan langkah pengajian seterusnya, kajian juga menunjukkan bahawa pelajar lebih peka terhadap kepelbagaian pilihan pengajian di peringkat antarabangsa.

Apabila ditanya, ramai daripada mereka menunjukkan kesedaran terhadap pengajian di peringkat antarabangsa dan persepsi bahawa pengajian di luar negara mampu menawarkan lebih banyak pilihan kursus dan peluang kerjaya yang lebih meluas.

Ketua Pengiktirafan Global, Cambridge International, Kevin Ebenezer, berkata, pandemik ini telah memberikan banyak tekanan kepada bidang pendidikan secara global dan ini dapat dilihat daripada dapatan kajian yang menunjukkan secara jelas bahawa ia telah memberi kesan terhadap pemilihan universiti oleh pelajar.

“Walau bagaimanapun, selain daripada menangani tahun yang mencabar, ia juga menunjukkan kira-kira 70 peratus pelajar Cambridge telah menyambung pengajian di 500 universiti terbaik di dunia pada tahun 2020, berbanding 68 peratus pada tahun 2019,” katanya.

Di UK dan Australia, masing-masing dengan universiti ke-24 dan ke-13 dalam senarai 500 universiti terbaik di dunia, menjadi antara tiga pilihan utama bagi pelajar Malaysia.

Selain itu, UK juga menjadi destinasi pilihan di kalangan pelajar Eropah dan China, yang menunjukkan bahawa 26 peratus daripada pelajar Cambridge memilih untuk menyambung pengajian di universiti di United Kingdom.

Kajian destinasi pelajar ini telah dijalankan pada Julai 2021 melibatkan 300 sekolah di 55 negara.

Artikel berkaitan 

Mahu jadi pemain bolasepak, ini kemahiran asas yang perlu pelajar kuasai

Rifqah dan Munajjah unggul dalam sukan catur, pasangan adik beradik aktif catur sejak dari kecil

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok