dr haim hilman
dr haim hilman

“Pelajar daripada keluarga susah, sebenarnya ALLAH sayang pada kita.” - Naib Canselor UUM

Norliza Wasilan
17 Aug 2022 08:11am
A
A
A

“Kekurangan di rumah bukan untuk ditangisi atau dikesali, percayalah ALLAH sengaja mempersiapkan sedemikian rupa untuk membangunkan jiwa-jiwa yang kental dan luar biasa.

"Yang datang daripada keluarga susah, sebenarnya ALLAH sayang kepada kita, ALLAH sentiasa dekat, bertahan dan melangkahlah mencapai kejayaan yang diimpikan ibu bapa.”

Demikianlah kata-kata Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Haim Hilman Abdullah yang dipetik dari laman sosial Facebook UUM.

Kata-kata tersebut diungkapkan kerana beliau memberi semangat dan motivasi kepada 180 pelajar membabitkan sekolah daerah Kubang Pasu, Baling dan Langkawi.

Dr Haim Hilman yang turut berkongsi kisah hidupnya yang susah ketika muda berkata, kesusahan yang dialami sebelum ini mendorongnya nekad untuk berjaya.

Ujarnya lagi, untuk berjaya, perkara yang paling penting ialah kesungguhan, pada masa sama dekatkan diri kepada ALLAH.

“Andai merasakan tiada yang sayang atau prihatin dengan nasib diri, percayalah bahawa diri kita semakin hampir dan dekat dengan ALLAH.

“50 tahun lalu, saya juga datang dari keluarga yang tiada apa-apa dan jauh di sudut hati tersemat rasa kesungguhan untuk menjadi insan berjaya,” katanya ketika Program Jalinan Harapan Permata KOMPaS di Dewan Inasis TM, baru-baru ini.

Sekolah yang terlibat dalam program KOMPaS ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai; SMK Tanjong Puteri; SMK Tunku Seri Indera Putera; SMK Ayer Hitam; SMK Kelibang; dan SMK Ayer Hangat.

Turut mengambil bahagian, 18 guru pembimbing dan 40 pelajar UUM yang bertindak sebagai fasilitator.

Mengulas lanjut, Dr Haim Hilman turut menasihatkan pelajar supaya jangan menjadikan kesusahan hidup sebagai halangan untuk berjaya.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak terlalu mengharapkan bantuan luar untuk meraih kejayaan.

“Pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh agar tidak mengecewakan ibu bapa, jangan mengharapkan orang luar untuk membela atau menghulurkan bantuan.

“Bangun dan bangkitlah menjadi anak muda yang luar biasa, berdoalah untuk masuk ke universiti apabila tamat persekolahan, belajar dan berusahalah untuk berjaya.

“Ramai insan berjaya hari ini juga berasal daripada keluarga susah, namun mereka tidak mengalah atau berputus asa untuk mengubah nasib,” ujarnya lagi.

Selain itu, Dr Haim Hilman juga mengucapkan penghargaannya kepada semua guru yang sentiasa membantu pelajar sepanjang Program Jalinan Harapan Permata KOMPaS itu.

“Kepada guru-guru, terima kasih kerana masih memikirkan anak-anak ini yang sentiasa mahukan sentuhan luar biasa daripada insan mulia (guru),” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Program Penyelidikan KOMPaS, Profesor Dr Rosna Awang Hashim berkata, program itu bertujuan memberi motivasi kepada pelajar mengenai kepentingan pendidikan, perancangan masa depan dan berkongsi peluang pendidikan.

Selain itu, beliau berkata, program yang mendapat kerjasama Yayasan Sime Darby, Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah itu mengandungi tiga projek penyelidikan pelbagai disiplin.

“Saya berharap dengan penganjuran program selama dua hari ini akan membantu mendidik pelajar menjadi seorang yang berjaya dalam kehidupan,” katanya.

Artikel berkaitan

Pelajar UUM rangkul anugerah MIA Best Accounting Students Award 2021

Pasangan kembar seiras teruja masuk UM bersama

Profesor Gred Khas ‘A’ bidang komposit, saintis terbaik dunia, Malaysia terima anugerah khas


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok