be828696-6fea-45c1-8c40-600e295e185c
be828696-6fea-45c1-8c40-600e295e185c

Sekolah Angkat MMU persiapkan pelajar ke arah digitalisasi

Adlan Farhan Azwan
30 Mar 2022 07:58pm
A
A
A

CYBERJAYA – Universiti Multimedia (MMU) memilih 13 buah sekolah sebagai Sekolah Angkat MMU di bawah Program Sekolah Generasi Multimedia bagi merealisasikan hasrat negara mewujudkan generasi masa depan yang fasih digital.

Program berkenaan akan meningkatkan lagi tahap penguasaan kemahiran para pelajar melalui Transformasi Pendidikan Digital, Kebitaraan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Inovasi, serta Pendedahan Kerjaya Berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Pengarah Bahagian Sumber Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan (KPM), Maznah Abu Bakar berkata, program ini mempersiapkan para pelajar untuk menjadi generasi yang bukan sekadar kompeten bahkan fasih dalam pengetahuan serta kemahiran digital.

Baca juga

Tidak takut gagal, jadi resipi utama kejayaan penerima Anugerah Presiden Majlis Konvokesyen MMU Ke-22

“Senario konvokesyen sekali dalam seumur hidup,” Presiden MMU

“Sekolah-sekolah ini bertuah kerana berpeluang mendapat mentor cemerlang dalam pendidikan digital iaitu MMU yang telah terbukti berjaya menghasilkan graduan menepati kehendak era digital dan pasaran kerja masa kini,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sekolah Angkat MMU di kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

Menurut Presiden MMU, Profesor Datuk Dr Mazliham Mohd Su’ud, MMU akan menyalurkan sebanyak RM5,000 kepada setiap sekolah bagi membantu pembangunan dan pemantapan infrastruktur yang berkaitan dengan teknologi digital di bawah program berkenaan.

“MMU akan berkongsi dan memindahkan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pengalaman kepada sekolah-sekolah angkat ini secara sistematik dan berkala,” jelasnya.

Sekolah-sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra Perdana, SMK Seri Kembangan, SMK Bandar Puncak Jalil, Selangor; SMK Seri Saujana, SMK Bukit Jalil, SMK Seri Permaisuri, Kuala Lumpur; SMK Agama Slim River, SMK Seri Perak, Perak; SMK Changlun, Kedah; SMK Seberang Jaya Pulau Pinang; SMK Dang Anum, Sekolah Menengah (SM) Sains Muzaffar Syah, Melaka dan SM Sains Muar, Johor.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Dalam pada itu, guru bimbingan kaunseling SMK Seberang Jaya, Khairul Nidzar Mohd Zaki berkata, program ini dapat memberi pendedahan luas kepada para pelajar tentang ilmu dan kemahiran baharu era digital khususnya dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat, multimedia serta kejuruteraan.

“Para pelajar bakal dapat bimbingan secara hands on oleh pensyarah MMU yang akan turun padang ke sekolah kami.

"Ini adalah satu peluang keemasan untuk warga sekolah menimba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dari MMU,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok