Untitled design (3)
Untitled design (3)

Sukarelawan USM siap sedia misi bantuan banjir

Azleenda Sahaludin
02 Dec 2022 03:59pm
A
A
A

Setiap kali tibanya hujung tahun, kawasan Asia terutamanya Malaysia bakal berdepan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula 7 November lalu sehingga Mac 2023.

Keadaan ini disebabkan tiupan angin yang konsisten dari arah timur laut atau dikenali sebagai ‘musim tengkujuh’ boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan.

Dalam tempoh ini juga, hujan lebat bakal berterusan untuk beberapa hari dan boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah atau berhampiran sungai.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran sebagai langkah berjaga-jaga terutamanya kepada penduduk di kawasan pantai timur agar sentiasa peka dengan maklumat dan nasihat yang dikeluarkan melalui medium rasmi di laman sesawang www.met.gov.my atau semua media sosial MetMalaysia.

Sukarelawan USM ketika menghadiri kursus pengendalian bencana banjir.

Sehubungan itu, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) yang memandang serius isu ini telah memulakan pencarian sukarelawan banjir dan membuka penyertaan kepada semua pelajar serta staf yang berminat.

Zulkifli Che Hussin.

Pengarah Pusat Pembangunan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (TDC BHEPA), Zulkifli Che Hussin berkata, setakat ini sukarelawan yang terlibat adalah pelajar dan staf dari tiga kampus USM.

“Penglibatan sukarelawan dari Kampus Kesihatan dan Kampus Kejuruteraan adalah seramai 80 orang manakala dari induk pula 120 orang.

“Kami juga sudah bersedia sejak awal November lalu sama ada dari sudut fizikal dan mental untuk misi bantuan banjir yang bakal berlaku tidak lama lagi,” katanya kepada Sinar Bestari.

Zulkifli turut memaklumkan, kursus pengendalian bencana ini telah diadakan pada 27 November dengan memberi pendedahan awal kepada sukarelawan tentang persiapan diri sebelum, semasa dan selepas banjir.

“Pendedahan ini meliputi asas keselamatan seperti resusitasi kardiopulmanori (CPR), pengendalian kecederaan dan asas menyelamat,” ujarnya.

Selain itu, beliau memberitahu, misi bantuan banjir ini akan dijalankan sekurang-kurangnya tiga hari dua malam bergantung kepada tahap sesuatu kawasan yang terlibat.

“Sekiranya kawasan tersebut mengalami banjir yang teruk, kita akan bantu selama seminggu dan sukarelawan akan dibahagikan tugas mengikut kumpulan,” jelasnya lagi.

Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar.

Dalam pada itu, Pegawai Tadbir Pusat Pengurusan Bencana (Nerve Centre USM), Tuan Mohd Salman Tuan Mohd Jaffar menambah, pengumpulan data pelajar serta staf yang pernah terlibat dengan bencana telah dilakukan sebagai langkah persediaan awal.

“Data ini bertujuan untuk membantu mereka yang pernah terlibat supaya pihak kami tidak terlepas pandang dalam menjaga kebajikan warga kampus,” katanya.

Tuan Salman juga menjelaskan, setakat ini segala peralatan telah disediakan dan akan meminta sumbangan lain dari pusat tanggungjawab (PTJ) dan pusat pengajian kampus.

“Sumbangan lain ini meliputi peralatan mencuci sahaja, seperti jet air, sabun, berus dan penyapu.

“Akan ada juga bantuan makanan, namun kali ini kami membawa kelainan dengan mengutamakan bantuan dari sudut peralatan mencuci,” jelas Tuan Salman.

Tambahnya, sukarelawan USM telah bersiap sedia dalam misi bantuan banjir ini dan akan segera ke kawasan yang terjejas sekiranya diperlukan.

Artikel berkaitan

USM Outshine beri pendedahan tentang kemudahan asrama di luar negara

3 pelajar USM lakar kejayaan dalam pertandingan ICT

Penghidap autisme penerima Anugerah Pingat Emas USM


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok