Mat Setia Mohd Raji,
Mat Setia Mohd Raji,

TVET ILJTM: 9,000 kemasukan pelajar baharu, jamin 90 peratus kebolehkerjaan siswazah

Rasyidah Zulkifi
18 Jul 2022 10:11am
A
A
A

Hari ini dengan peluang pekerjaan yang dilihat begitu banyak dalam sektor perindustrian, pilihan terbaik untuk pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian adalah dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Bidang ini bukan sahaja menjamin profesion pada masa hadapan, malah sejajar dengan agenda Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Jabatan Tenaga Manusia (JTM) yang ingin melahirkan lebih ramai tenaga mahir di pasaran.

Di bawah KSM sendiri, Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) adalah penggerak utama yang bertanggungjawab untuk menggalakkan kemasukan pelajar baharu ke

program TVET melalui Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun Malaysia (JMTI).

Menurut Timbalan Ketua Pengarah JTM, Mat Setia Mohd Raji, 59, kursus yang ditawarkan di ILJTM lebih memfokuskan pengajian berbentuk praktikal berbanding teori.

“Setakat ini, kursus yang ditawarkan di ILJTM memang berpandukan keperluan industri dan kita berusaha untuk menempatkan pelajar agar diserap untuk bekerja terus di syarikat.

Mat Setia Mohd Raji.

“Bagi pelajar di peringkat sijil, mereka akan menjalani latihan industri selama tiga bulan dan diploma pula enam bulan.

“Jadi dengan adanya latihan industri secara tidak langsung membuka peluang kepada pelajar ILJTM untuk ditawarkan pekerjaan kelak seiring dengan tujuan kita untuk menyasarkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan mereka dalam tempoh enam bulan,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari, baru-baru ini.

Tambah beliau, tahap kebolehpasaran dan kebolehkerjaan lepasan ILJTM pada tahun ini adalah 85 peratus berbanding tahun lalu iaitu 93 peratus.

“Terdapat sedikit penurunan kerana ekonomi kebanyakan industri terkesan akibat Covid-19.

“Bagaimanapun, kita mendapati kajian tahap kebolehpasaran dan kebolehkerjaan pelajar-pelajar yang menjalani program TVET di ILJTM adalah tinggi,” ujarnya.

Kursus-kursus

Menurut Mat Setia lagi, kursus-kursus yang mendapat sambutan di ILJTM adalah bidang elektrik, kimpalan, automotif, mekatronik, pembuatan, penyejukbekuan dan

penyamanan udara.

“Semua bidang di ILJTM sama ada di ILP, ADTEC dan JMTI memenuhi keperluan dan kehendak industri yang lebih banyak berfokuskan kepada kejuruteraan.

Berkemahiran tinggi dan kompeten menjadikan graduan TVET ILJTM laris di pasaran.

“ILJTM melalui ILP, ADTEC dan JMTI, program TVET yang ditawarkan merujuk kepada keperluan industri yang menggunakan teknologi seperti mekanikal, elektrikal, sivil serta

teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” tuturnya.

Walaupun kursus kemahiran sering dikaitkan dengan golongan lelaki, namun di ILJTM ia turut dibuka kepada wanita.

Kemasukan pelajar baharu

Mat Setia memberitahu, walaupun negara berdepan dengan wabak Covid-19 tetapi kuota pengambilan pelajar baharu di ILJTM tetap sama.

“Setiap tahun kita ada dua ‘intake’ iaitu pada bulan Mac dan Ogos, jadi JTM menawarkan 9,000 tempat kepada pelajar-pelajar baharu.

Pelajar didedahkan dengan latihan amali yang sebenar menjadikan bidang TVET pilihan utama ibu bapa hari ini.

“Permintaan masih sama, baik pengambilan secara terus di laman sesawang JTM (bulan Mac) mahupun melalui permohonan di UPU (bulan Ogos).

“Jika pelajar ingin memohon melalui UPUOnline, mereka perlu membeli nombor pin Bank Simpanan Nasional (BSN) di mana-mana kiosk atau cawangan yang ditetapkan,” katanya.

Elaun

Bagi elaun latihan industri pula, JTM menawarkan RM300 setiap bulan.

“Bagaimanapun, kita sarankan kepada pihak industri agar memberikan insentif kepada pelajar ILJTM yang menjalani latihan industri di syarikat mereka,” ujarnya.

Justeru, JTM menubuhkan Community Employment Support Service (CESS) untuk berkolaborasi dengan industri setempat.

“Fungsi CESS adalah mendapatkan penempatan bagi pelajar-pelajar yang menjalani latihan

industri dan mempromosikan graduan JTM.

“Pada masa sama, pelajar yang berpotensi dari ILP, ADTEC atau JMTI akan ditawarkan peluang bekerja oleh industri berkaitan,” katanya.

Selain itu, JTM juga mempunyai sistem e-Tracer Study (Employability) Online System (eTOS) yang berfungsi untuk menjejak maklumat lepasan ILJTM dalam tempoh lima tahun.

“Graduan-graduan ini akan dihubungi dan status terkini mereka dikemas kini untuk mengetahui sama ada sudah bekerja atau belum,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan

Azizah: 90 peratus siswazah TVET MARA, bekerja dalam tempoh 6 bulan 

Dedah pendidikan TVET di peringkat sekolah

Hala tuju pendidikan TVET

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok