WhatsApp Image 2022-09-28 at 5.38.18 PM
WhatsApp Image 2022-09-28 at 5.38.18 PM

Ubah nasib keluarga dan keluar daripada kepompong kemiskinan

Rasyidah Zulkifi
28 Sep 2022 05:47pm
A
A
A

Mentaliti bahawa pendidikan tinggi tidak menjamin masa depan seharusnya dikikis daripada permikiran anak-anak muda kerana ia hanya akan merugikan diri sendiri.

Hari ini dengan pelbagai cabaran dan juga saingan yang terlalu banyak, melanjutkan pelajaran ke peringkat yang tertinggi adalah satu keputusan yang tepat kerana rata-rata industri masih lagi memerlukan mereka yang mempunyai sijil, diploma, ijazah sarjana muda, sarjana atau doktor falsafah.

Ini kerana pencapaian dalam akademik mempengaruhi jenis pekerjaan yang ditawarkan majikan kepada graduan mengikut bidang pengajian masing-masing.

Sehubungan itu, Sinar Bestari mendapatkan pandangan tiga mahasiswa tempatan mengenai pentingnya pendidikan tinggi hari ini.

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) Dengan Kepujian, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Muhammad Yuzaimy Zamry, 22, alasan dia untuk sambung belajar disebabkan kisah keluarganya.

“Arwah ayah saya menyara kami 11 beradik di mana ketika itu dia melakukan dua pekerjaan, mekanik dan menunda kenderaan.

“Pendapatan yang diraih kurang daripada RM2,000, jadi kami sudah lali dengan kesusahan yang dilalui.

“Setelah ketiadaan ayah, hidup kami menjadi lebih susah kerana ibu tidak bekerja dan masih ada lagi adik-adik yang masih bersekolah dan belajar di IPT. Dari situ terbit dalam hati mahu mengubah nasib keluarga sekali gus keluar dari kepompong kemiskinan.

“Selepas tamat Tingkatan Enam, saya memilih menyambung pengajian dalam pendidikan di UPSI.

“Alasan lain yang membuatkan saya ingin belajar di peringkat yang lebih tinggi kerana hendak menggapai impian menjadi seorang pendidik,” ujarnya.

Peluang kenaikan pangkat

Sementara itu, pelajar Diploma Multimedia, Management and Science University (MSU), Shah Alam, Selangor, Nur Farahani Hasni, 22, berkongsi pengalamannya bekerja di kilang yang membuatkan dia sedar betapa pentingnya menuntut ilmu di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, rakan sekerja dinaikkan pangkat mengikut tahap pendidikan mereka, sedangkan dia yang hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada waktu itu berada di takuk yang sama.

“Walaupun saya bekerja keras, masih tidak dinaikkan pangkat dan ini mendorong saya untuk sambung belajar di universiti.

“Selain itu, saya mendapati terdapat banyak perbezaan antara orang yang berpendidikan dan mereka yang tidak berpendidikan,” jelasnya.

Selepas tamat pengajian, anak bongsu daripada dua beradik itu bercadang untuk menjadi pereka grafik ataupun pereka laman sesawang.

“Saya fikir kedua-duanya merupakan pekerjaan yang sesuai dengan kemampuan diri dan ingin membuat sesuatu yang diminati.

“Macam mana pun, saya berharap agar dapat mencari rezeki halal dengan kemahiran yang dipelajari semasa kuliah,” tuturnya lagi.

Minda lebih terbuka

Sementara itu, tutur Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengajian Strategi, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kem Sungai Besi, Kuala Lumpur, Nur Izzati Farhana Azizan, 22, peluang belajar di IPT berupaya membuatkan pemikirannya lebih terbuka.

“Semasa belajar di peringkat STPM, suasana dan persekitaran yang sama saya rasai ketika belajar dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima.

“Kesan dan akibatnya, pembelajaran di peringkat ini tidak memberi peluang kepada saya untuk meneroka dengan lebih jauh.

“Jadi, ini membuatkan saya teruja untuk menyambung pengajian di IPT dan melihat sendiri suasana seperti yang diperkatakan ramai,” kongsi gadis itu.

Tambahnya, faktor umur yang masih muda juga mendorongnya untuk menyambung pengajian berbanding bekerja seperti rakan sebaya yang lain.

Begitupun, ujarnya, tidak dinafikan pekerjaan hari ini juga dapat menjamin pendapatan dan yang paling menampakkan hasil adalah bidang perniagaan dan keusahawanan.

“Maksudnya, pekerjaan yang melibatkan ekonomi ketika stabil dan memberangsangkan akan memberikan pendapatan yang menguntungkan.

“Pada masa ini, perniagaan sememangnya berisiko tinggi memandangkan keadaan ekonomi negara yang masih tidak menentu disebabkan wabak Covid-19.

“Walaupun bidang ini (perniagaan) berisiko, sekiranya ia dilakukan dengan betul pastinya akan memberikan keuntungan,” jelasnya.

Artikel berkaitan 

‘The Food Bank Project’ bantu keluarga murid yang memerlukan

Siswa UPM prihatin nasib haiwan terbiar, berjaya kumpul dana RM4000 

Program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia, tawar menu berkualiti harga serendah RM3.50


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok