UPM bantu Sekolah Bajau Laut Omadal bangunkan Kebun Atas Air
UPM bantu Sekolah Bajau Laut Omadal bangunkan Kebun Atas Air

UPM bantu Sekolah Bajau Laut Omadal bangunkan Kebun Atas Air

Roshlawaty Md Raieh
29 Sep 2022 05:44pm
A
A
A

Bagi membantu komuniti setempat dalam aktiviti bercucuk tanam, sekumpulan kakitangan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM, berkunjung ke Sekolah Bajau Laut Omadal (Iskul Sama DiLaut Omadal) di Semporna, Sabah bagi membantu mereka dalam aktiviti berkenaan.

‘Kebun Atas Air’ yang menggunakan sistem hidroponik merupakan projek bercucuk tanam yang dibangunkan oleh kakitangan Fakulti Pertanian dan UCTC, UPM, kepada komuniti di sekolah tersebut.

Pengarah UCTC, UPM, Profesor Dr Loh Teck Chwen berkata, sebanyak lima unit sistem hidroponik bertingkat dan 30 unit hidroponik takung yang dilengkapi dengan baja, biji benih dan keperluan alatan pertanian telah diagihkan kepada masyarakat di situ.

Ujarnya, sistem hidroponik bertingkat yang dibekalkan dilengkapi dengan pam air yang boleh beroperasi sama ada menggunakan sumber elektrik atau tenaga solar sekiranya mengalami masalah putus bekalan elektrik.

Pelbagai ilmu diperoleh oleh komuniti setempat sepanjang aktiviti bercucuk tanam ini dilakukan.

Sambungnya lagi, projek tersebut tidak akan terhenti di situ sahaja sebaliknya akan ada aktiviti lanjutan dan pemantauan berterusan menerusi dalam talian atau turun ke lapangan bagi memastikan komuniti sentiasa merasai semangat kebersamaan dan kekeluargaan bersama UPM.

Sementara itu, Guru Sukarelawan bagi Sekolah Bajau Laut Omada, Jefry Musa berkata, dia gembira kerana idea untuk berkebun akhirnya tercapai hasil bantuan universiti terbabit.

Tambah beliau, selain diajar cara bercucuk tanam, mereka turut mendapat pelbagai ilmu sepanjang kehadiran wakil UPM ke sana.

Antara ilmu yang diperoleh adalah kaedah pembajaan menggunakan baja kimia dan baja organik; kawalan serangga perosak menggunakan semburan secara organik; membuat kompos serta membina rak takungan bagi mengatasi masalah ruang terhad.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak kerana sanggup datang ke Semporna, Sabah dan berkongsi segala kepakaran yang ada.

“Dengan pelaksanaan aktiviti Kebun Atas Air ini, saya berharap komuniti akan dapat menghasilkan lebih banyak sayur-sayuran segar untuk dinikmati bersama-sama,” ujar Jefry.

Artikel berkaitan 

Ceburi bidang pertanian sebagai alternatif pekerjaan, mahasiswa UPSI kini miliki kebun sawit sendiri

Penyelidik UKM dan UNIMAS hasilkan sistem penskoran madu kelulut UKSF

Penyelidik cipta dron pelbagai fungsi, inovasi tingkat produktiviti pertanian


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok