10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian
10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian

10 faktor Jerman boleh dijadikan pilihan pelajar sambung pengajian

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
13 Jun 2022 02:14pm

Berpeluang menyambung pengajian di luar negara semestinya menjadi impian setiap pelajar.

Ini kerana, bukan calang-calang individu yang dapat belajar di sana. Hanya mereka yang memperoleh keputusan akademik cemerlang sahaja layak mengikuti pengajian di negara luar.

Namun begitu, ada sesetengah pelajar berhadapan dengan masalah memilih negara yang sesuai untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Pelbagai maklumat dan info sudah diperoleh melalui pencarian internet dan juga mendapatkan pandangan mereka yang rapat.

Namun, jawapan yang diterima masih belum memuaskan hati.

Sinar Bestari tertarik dengan perkongsian seorang pengguna di Facebook yang dikenali sebagai Khairolizam Muhaidi.

Beliau yang beberapa tahun menetap di Jerman, berkongsi 10 sebab mengapa negara itu boleh dijadikan pilihan pelajar untuk menyambung pengajian atau menetap di sana.

Berikut disertakan faktor-faktor untuk adik-adik jadikan sebagai panduan berkaitan pemilihan negara untuk menimba ilmu.

Mari kita lihat!

*****

Berdasarkan pemerhatian selama beberapa tahun menetap di Jerman, saya kongsikan 10 sebab mengapa Jerman adalah negara destinasi yang bagus untuk sambung belajar atau negara menetap idaman.

1) Bahasa

Untuk undergraduate (sarjana muda), kita perlu belajar semua subjek dalam bahasa Jerman, dan apabila tamat pengajian, kita akan ada bonus, tahu satu bahasa asing.

Undergraduate perlu menjalani tiga kali latihan industri termasuk tesis. Pada masa ini, kita berpeluang masuk ke kilang atau institut penyelidikan dan merasai sendiri pengalaman temu duga dan bekerja dengan orang Jerman.

Waktu ini kita akan berlatih bekerja secara cekap seperti mereka dan memahami mengapa mereka mampu membina negara yang maju seperti kita lihat hari ini.

2) Teknologi terbaik di Eropah

Bosch, Braun, Blaupunkt, Volkswagen, Mercedes, BMW, Porsche, DHL, Continental, Siemens dan sebagainya adalah produk-produk keluaran Jerman. Kini, Tesla juga melabur jutaan Euro dengan membina Tesla Gigafactory di Berlin.

3) Hari Ahad hari yang unik

Kita akan merasai pengalaman semua kedai dan pasaraya ditutup pada hari Ahad. Jadi kita perlulah merancang segala kelengkapan sebelum hari Ahad sambil belajar berekreasi dan menerokai alam semulajadi.

4) Kemudahan pengangkutan awam terbaik di Eropah.

Ke mana sahaja kita pergi, sudah pasti akan menaiki bas, tram, kereta api bawah tanah dan ribuan rangkaian perkhidmatan kereta api di Jerman. Apabila pulang ke Malaysia, pasti masing-masing akan sangat merindui kemudahan-kemudahan ini.

Sekali sekala kita boleh menyewa kereta yang sesuai untuk mengembara dan merasai pengalaman memandu tanpa had limit di Autobahn.

5) Faktor geografi

Kedudukannya yang berada di tengah-tengah negara Eropah memudahkan kita untuk ‘makan angin’ ke negara jiran kerana berkongsi garisan sempadan dengan sembilan negara jiran tetangga.

Naik kereta api beberapa jam sudah boleh sampai Belanda, Belgium, Perancis, Switzerland, Austria, Poland, Republik Czech, Denmark dan Sweden.

Kalau jauh sikit, boleh naik kapal terbang tambang murah. Belajar bukan hanya dalam kelas, tapi belajarlah juga melalui budaya yang berbeza di setiap negara.

6) Negara yang bersih dan mementingkan penjagaan alam sekitar

Jerman mempunyai program kitar semula terbaik di Eropah. Kita pun masih jauh ketinggalan dari segi ini.

Taman, tasik, sungai dan kawasan kediaman dijaga bersih dan tersusun tanpa sampah sarap. Mencuci kereta pun tidak boleh sebarangan tempat dan sistematik bagi mengelakkan pencemaran air bawah tanah.

7) Sistem pendidikan yang berbeza dan unik

Sistem pembelajaran di Jerman sangat berlainan dari Malaysia yang memaksa kita berfikir di luar kotak, melatih kita membuat plan A, plan B, plan C dan menjadikan jiwa kita kental sekentalnya.

8) Negara empat musim

Kita boleh merasa perubahan kehidupan seharian mengikut musim. Setiap musim ada keunikan tersendiri dan mood berbeza. Musim panas ramai yang melancong manakala musim sejuk ada banyak festival yang diraikan.

9) Menghormati jiran

Kita akan belajar menghormati jiran tetangga. Kawasan kegunaan bersama perlu dibersihkan mengikut jadual yang ditetapkan bersama.

Tiada bunyi bising yang mengganggu jiran selepas 10 malam. Jika mahu bertandang ke rumah jiran, perlu beritahu lebih awal.

10) Negara ‘straight forward’

Kita akan belajar untuk bercakap ‘straight forward’ kerana masyarakat Jerman ‘lurus’ orangnya. Bila tidak dapat hadir atau sertai aktiviti, katakan ‘tidak’ atau ‘Insya-ALLAH’ (bagi orang Islam).

Itulah serba ringkas kenapa Jerman negara destinasi yang bagus untuk sambung belajar atau negara menetap idaman.

Semoga bermanfaat.

Artikel berkaitan

Tip belajar menaip dengan laju, hanya guna 5 aplikasi percuma ini

6 tip menulis, membaca dan menguasai jawi dengan baik

7 tip menjadi atlet silat yang berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan