Jenayah siber, ini yang harus guru dan pelajar lakukan untuk pencegahan
Jenayah siber, ini yang harus guru dan pelajar lakukan untuk pencegahan

Jenayah siber, ini yang harus guru dan pelajar lakukan untuk pencegahan

Roshlawaty Md Raieh
27 Jan 2023 11:04am
A
A
A

KEBERGANTUNGAN kepada internet telah membawa perubahan besar kepada masyarakat dalam melibatkan diri terhadap aktiviti ekonomi global, mengurus infrastruktur kritikal dan berkomunikasi antara satu sama lain

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr Nik Syuhailah Nik Hussin, kebergantungan ini telah mencetuskan anjakan paradigma kepada aturan masyarakat berinteraksi dan memperoleh maklumat.

Beliau berkata, pada zaman moden ini, segala maklumat ingin dikongsi di media sosial peribadi.

“Hal ini tidak menjadi kesalahan cuma perlu berhati-hati apabila melibatkan golongan muda seperti para pelajar sekolah rendah dan menengah yang masih belum matang.

“Justeru, peranan ibu bapa, penjaga dan guru sangat penting dalam memberi kesedaran kepada generasi muda tentang impak terhadap internet hingga wujud jenayah siber,” ujarnya menerusi kiriman artikel kepada Sinar Bestari.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang jenayah siber yang kini makin serius dalam kalangan pelajar, ikuti pandangan bernas Nik Syuhailah kepada para pembaca.

*****

Berdasarkan statistik, jenayah siber di peringkat sekolah agak membimbangkan, ekoran mereka ini masih mentah dan kurang pemahaman dengan paparan dunia tanpa sempadan.

Penggunaan internet di sekolah diwujudkan dalam penyebaran ilmu semasa sesi pembelajaran dan pengajaran.

Dapatan yang diterima daripada internet boleh memberi ancaman kepada pelajar sekiranya tiada kesahihan dan daripada sumber yang dipercayai.

Oleh itu, sebagai guru menjadi tanggungjawab mereka untuk mentafsir setiap maklumat yang diperolehi dan membimbing pelajar untuk mendapatkan maklumat yang tepat daripada sumber siber yang digunakan.

Sukar untuk menidakkan bahawa informasi yang diperolehi di alam siber dan media sosial bergerak lebih pantas berbanding platform tradisional sedia ada.

Malah tidak dinafikan, perkembangan teknologi terutama melalui media sosial menjadi medium efektif bagi tujuan pendidikan.

Namun kita lebih terbuai dengan perkongsian tanpa menyemak kesahihannya yang mana boleh menimbulkan konflik dan salah faham kelak.

Secara purata, kewujudan laman sosial telah menjadi darah daging tidak kira apa golongan sekali pun, baik golongan muda hinggalah kepada warga emas.

Amalan bersosial di alaf baru ini mengundang kebimbangan dan tidak sihat untuk pembentukan sahsiah dan perkembangan kognitif diri.

Sekiranya tidak digunakan dengan sebaiknya, ia boleh memberi implikasi kurang sihat kepada persekitaran.

Umumnya kita sedia maklum jenayah siber telah menjadi barah malah sekam yang membakar dalam diam.

Saban hari kita dihidangkan dengan berita penipuan siber yang mengakibatkan kerugian wang ringgit yang banyak.

Melalui Kementerian Komunikasi dan Digital telah memfokuskan hala tuju dalam agenda memperkasakan Pendidikan Pengguna kepada masyarakat supaya menjadi lebih celik digital dan perlindungan diri daripada menjadi mangsa jenayah siber.

Antara inisiatif yang telah dirancang adalah kerjasama bersama penyedia aplikasi TikTok untuk program kesedaran ‘Stopfor 3 Seconds’ yang menggesa masyarakat untuk berfikir terlebih dahulu sebelum menyebarkan kepada yang lain dan perlu memastikan kesahihan maklumat tersebut.

Pengguna perlu memahami tatacara melayari dan menggunakan media sosial bagi mengelakkan terlibat dengan jenayah siber atau menjadi mangsa jenayah siber.

Konklusinya, banyak langkah dikenal pasti oleh pihak yang terlibat bagi mengatasi kes jenayah siber yang makin berleluasa.

Guru, ibu bapa dan pelajar serta orang ramai perlu cakna terhadap persekitaran dan memastikan keselamatan siber diaplikasikan dalam penggunaan teknologi harian.

INFO

Jenayah siber merupakan jenayah yang dilakukan melalui komputer dalam internet dan menyebabkan mangsa menderita serta mengalami kerugian.

Penjenayah siber akan muat turun cara mencuri, menipu harta benda, pemalsuan, peras ugut, mengubah data-data dan lain-lain melalui internet.

Umumnya, penjenayah siber adalah golongan berpengetahuan ataupun profesional khususnya golongan remaja.

Remaja akan melakukan jenayah siber terhadap institusi mereka sendiri atau mereka diupah dan dipergunakan oleh pihak tertentu untuk melakukan jenayah.


Artikel berkaitan 

Program Drugs-Ciety’22 dedah murid tentang bahaya penyalahgunaan dadah

Kes buli, 10 pelajar MRSM ditamatkan pengajian bakal memasuki sekolah harian

Dulu Komander Perbarisan, kini Pegawai Kanan Polis. Tahniah Nuraida Shafiza, kami bangga dengan anda!

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Disyorkan