Selain rambut, banyak lagi peraturan lain yang perlu pelajar patuhi. Ini senarainya!
Selain rambut, banyak lagi peraturan lain yang perlu pelajar patuhi. Ini senarainya!

Peraturan sekolah yang perlu pelajar patuhi. Poin nombor 1 mohon beri perhatian!

Roshlawaty Md RaiehRoshlawaty Md Raieh
15 Jun 2022 03:03pm

Isu memotong rambut pelajar di sekolah baru-baru ini masih lagi menjadi perbualan ramai.

Malah, ia semakin hangat apabila seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Idi Johan Mohd Zohdi melakukan ‘unboxing’ barangan yang dibeli di Shopee ketika perhimpunan sedang berlangsung beberapa hari lepas.

Isi kandungan ‘unboxing’ berkenaan ternyata mengejutkan ramai pelajar apabila ia adalah sebuah mesin pencukur rambut yang akan digunakan oleh cikgu ini sekiranya ada dalam kalangan pelajar yang masih lagi berambut panjang.

Menyentuh mengenai kekemasan rambut pelajar, ia sebenarnya adalah salah satu peraturan sekolah yang wajib dipatuhi oleh para pelajar sejak dahulu lagi.

Malah, bukan hanya rambut sahaja, tetapi terdapat pelbagai peraturan lain yang perlu diikuti oleh semua anak-anak didik.

Di bawah ini disertakan beberapa peraturan sekolah berkaitan kekemasan dan kebersihan diri yang perlu pelajar-pelajar patuhi.

Sinar Bestari kongsikan sebahagian undang-undang dan peraturannya yang diambil menerusi Facebook PIBG SK Subang Bestari 2 untuk panduan kita bersama.

Jom baca!

1) Rambut/ misai/ janggut/ jambang

(1.1) Rambut pelajar lelaki tidak dibenarkan panjang. Istilah panjang adalah seperti berikut:

a) Belakang rambut dibiarkan tebal/ jatuh melebihi garisan dibawah cuping telinga/ tersentuh kolar.

b) Bahagian tepi rambut menutup/ menyentuh kedua-dua cuping telinga dan ‘sideburn’ panjang melebihi garisan tengah hidung.

c) Bahagian hadapan rambut terjuntai dan menutup garisan tengah dahi. Bahagian atas, rambut tidak melebihi 6 sentimeter (cm) panjang dan tidak kurang 1 cm pendek.

(1.2) Pelajar lelaki beragama Sikh/ Punjabi dibenarkan berambut panjang jika memakai serban, tetapi yang memakai serban, peraturan kekemasan rambut adalah seperti yang ditetapkan.

(1.3) Pelajar tidak dibenarkan menyimpan janggut, misai/ kedua-duanya/ bulu-bulu tebal yang tumbuh keseluruhan bahagian muka dengan disengajakan. Istilah misai tidak termasuk bulu roma, bulu halus yang mula tumbuh dibahagian atas/ bawah pelajar yang beransur baligh.

(1.4) Pelajar lelaki dilarang menyimpan ekor di mana-mana bahagian rambut/ bahagian kepala/ membotakkan rambut tanpa sebab yang wajar/ dilarang memotong/ membentuk/ berfesyen/ mewarnakan rambut mengikut fesyen/ berfesyen keterlaluan yang menyamai/ mengikut imej/ identiti seseorang/ sesuatu kumpulan/ organisasi.

(1.5) Rambut pelajar perempuan hendaklah sentiasa dijaga rapi dan bebas daripada masalah kesihatan/ sebagainya. Pelajar dilarang mewarnakan rambut/ memotong rambut mengikut fesyen rambut lelaki. Rambut pelajar bukan Islam yang tidak memakai tudung kepala, hendaklah jangan menyentuh bahagian bahu. Pelajar yang berambut panjang/ melepasi bahu hendaklah mengikat rambut dengan menggunakan getah/ reben berwarna hitam/ putih/ biru muda sahaja. Tocang/ Plait/ Ponytail adalah dibenarkan. Fesyen rambut tidak sopan/ keterlaluan/ hiasan di kepala/ menutup dahi adalah dilarang.

2) Kuku

(a) Pelajar dilarang berkuku panjang.

(b) Pelajar dilarang mewarnakan kuku.

(c) Pelajar hendaklah sentiasa menjaga kebersihan kuku.

3) Kebersihan pakaian dan kelengkapan sekolah

Pelajar-pelajar hendaklah sentiasa memastikan kebersihan baju, seluar atau apa-apa jua yang dianggap sebagai kelengkapan sekolah pada setiap masa.

4) Penyakit berjangkit

(a) Pelajar-pelajar yang telah disahkan menghidap penyakit berjangkit tetapi tidak berbahaya oleh pegawai perubatan kerajaan/ sebagainya hendaklah mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh pihak hospital, sekolah dan sebagainya.

(b) Bagi pelajar-pelajar yang telah disahkan menghidap/ membawa penyakit berjangkit yang berbahaya oleh pegawai perubatan kerajaan dan sebagainya, hendaklah mematuhi arahan dari semasa ke semasa yang di keluarkan oleh pihak hospital, sekolah dan sebagainya.

5) Pelajar-pelajar perempuan dilarang bersolek seperti bergincu atau memakai pemerah pipi dan mencukur kening.

Artikel berkaitan 

(VIDEO) Guru ‘unboxing’ pencukur rambut, beri amaran buat pelajar

Kecemerlangan aksi Akhyar Rashid, hasil pembangunan bola sepak SMK Mergong

Robotik muda SK Putrajaya Presint 11 (3) mula dikenali ramai, kini aktif cipta robot guna komponen lego


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp
Artikel Disyorkan