UMS kukuh reputasi 'Brain of Borneo' dengan pengiktirafan antarabangsa
UMS kukuh reputasi 'Brain of Borneo' dengan pengiktirafan antarabangsa

15 saintis UMS tersenarai antara dua peratus terbaik dunia

NURUL HIDAYAH HAMIDNURUL HIDAYAH HAMID
23 Sep 2025 11:42am

Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus mencatat sejarah membanggakan apabila 15 saintisnya berjaya menempatkan diri dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia 2025 dalam pengiktirafan berprestij antarabangsa terbitan Stanford University dengan kerjasama Elsevier.

Daripada jumlah itu, seramai 14 saintis UMS diiktiraf dalam kategori Single Year Citation Impact bagi tahun 2024, manakala enam lagi tersenarai dalam kategori Career-Long Citation Impact.

Menariknya, terdapat beberapa nama yang berjaya muncul dalam kedua-dua kategori sekali gus menjadikan keseluruhannya seramai 15 orang.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Kasim Mansor berkata, pengiktirafan itu sebagai bukti keupayaan universiti dari Borneo untuk berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia.

"Kami amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ia membuktikan saintis UMS mampu menyumbang kepada penyelesaian cabaran global menerusi ilmu dan inovasi dari Borneo.

"Pencapaian berkenaan bukan sekadar pengiktirafan antarabangsa tetapi juga pemangkin kepada pengukuhan kerjasama pada pelbagai peringkat," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, di peringkat tempatan, universiti akan terus bekerjasama dengan komuniti, agensi kerajaan dan industri di Sabah serta Malaysia.

"Di peringkat serantau Borneo, UMS berhasrat memperkukuh jaringan dengan rakan akademik di Sarawak, Brunei dan Kalimantan," ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan:

Kasim menambah, fokus utama universiti terbabit di pentas global pula bagi membina kolaborasi dengan universiti dan organisasi antarabangsa dalam bidang penyelidikan, mobiliti akademik dan inovasi.

"Kejayaan terbabit hanyalah permulaan. Dengan kepakaran pelbagai bidang, UMS akan terus menjadi jambatan ilmu antara Sabah, Borneo dan dunia," menurut Kasim.

Kongsi beliau, antara nama tersenarai dalam kategori Single Year Citation Impact termasuklah Profesor Dr Hanudin Amin, Dr Teo Siow Hwa, Profesor Dr Jason Teo Tze Wi, Profesor Ts Dr Zainul Amiruddin Zakaria, Profesor Madya Dr Christophe Patrice Andie Wiart.

"Turut diiktiraf, Profesor Dr Md Shafiquzzaman Siddiquee, Dr Noora Barzkar, Profesor Madya Ts Dr Rovina Kobun, Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly, Profesor Dr Md Lutfor Rahman, Profesor Madya Dr Shigeharu Sato, Profesor Ts Dr Uda Hashim, Profesor Dr Rayner Alfred serta Dr Nurul Elyani Mohamad," tambahnya.

Menurut beliau lagi, saintis diiktiraf dalam kategori Career-Long Citation Impact pula terdiri daripada Profesor Ts Dr Zainul Amiruddin Zakaria, Profesor Madya Dr Christophe Patrice Andie Wiart, Profesor Dr Jason Teo Tze Wi, Profesor Dr Md Shafiquzzaman Siddiquee, Profesor Ir Dr Rosalam Sarbatly dan Profesor Dr Md Lutfor Rahman.

Kasim berpandangan, pengiktirafan 15 saintis UMS itu terus memperkukuh reputasi universiti sebagai pusat ilmu yang digelar Brain of Borneo selaras dengan misi untuk mengangkat penyelidikan dan inovasi dari rantau berkenaan ke persada dunia

 

 

Ringkasan AI

  • Universiti Malaysia Sabah mencatat sejarah dengan 15 saintisnya dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia 2025
  • 14 saintis diiktiraf untuk Single Year Citation Impact 2024 dan enam untuk Career-Long Citation Impact
  • Pengiktirafan bukti UMS mampu berdiri sebaris dengan institusi penyelidikan terbaik dunia
  • UMS berhasrat memperkukuh kerjasama di peringkat tempatan, serantau Borneo, dan global
  • Kejayaan ini memperkukuh reputasi UMS sebagai pusat ilmu dan 'Brain of Borneo'
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp