
Penyelidik UUM, Norazah kekal dalam senarai saintis terkemuka dunia 7 tahun berturut-turut
Beliau berada di kedudukan ke-167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan
Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukir nama di persada antarabangsa apabila Profesor Ts Dr Norazah Mohd Suki sekali lagi tersenarai dalam kelompok dua peratus saintis teratas dunia oleh Elsevier dan Universiti Stanford.
Pengiktirafan berprestij itu menyaksikan beliau berada di kedudukan ke-167 dunia dalam bidang Perniagaan dan Pengurusan serta di tempat ke-5,173 secara keseluruhan daripada 100,000 saintis terkemuka di seluruh dunia.
Lebih membanggakan, ini merupakan penampilan ketujuh berturut-turut Norazah dalam senarai berkenaan sejak tahun 2019, sekali gus mengukuhkan kedudukan beliau sebagai antara penyelidik paling berpengaruh dalam bidang pengkhususan tersebut.
Senarai yang dikeluarkan oleh Elsevier dan Universiti Stanford itu berdasarkan data Scopus melibatkan lebih sembilan juta penyelidik aktif seluruh dunia dengan pemeringkatan ditentukan melalui skor komposit petikan (citation) (c-score) yang mengambil kira jumlah petikan, indeks-H, kerjasama penulisan bersama serta kedudukan sebagai pengarang utama atau bersama.
Norazah yang kini memegang jawatan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat) di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM dikenali dengan penyelidikannya dalam bidang tingkah laku pengguna, pemasaran hijau dan kelestarian perniagaan.
"Saya amat berbesar hati dapat mewakili Malaysia dan wanita dalam sains di pentas antarabangsa. Pencapaian ini adalah hasil dedikasi selama bertahun-tahun," katanya pada Ahad.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohd Foad Sakdan menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu pencapaian penting bukan sahaja buat universiti malah untuk negara.
"Kejayaan Profesor Norazah mencerminkan komitmen berterusan UUM terhadap kecemerlangan dalam penyelidikan dan inovasi. Ini adalah detik yang membanggakan untuk seluruh komuniti akademik Malaysia," katanya.
Jelasnya, pencapaian itu turut menyerlahkan peranan saintis wanita dalam memajukan ilmu pengetahuan, inovasi dan dasar awam sekali gus mengukuhkan profil penyelidikan Malaysia di peringkat global.