Rombongan ILP Arumugam Pillai Nibong Tebal teruja apabila berpeluang mengunjungi Kumpulan Media Karangkraf.
Rombongan ILP Arumugam Pillai Nibong Tebal teruja apabila berpeluang mengunjungi Kumpulan Media Karangkraf.

28 penuntut ILP Arumugam Pillai Nibong Tebal pilih Karangkraf demi dalami ilmu percetakan

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
16 Jun 2023 04:46pm

Bagi melihat dengan lebih dekat operasi percetakan di Kumpulan Media Karangkraf, seramai 28 penuntut Institut Latihan Perindustrian (ILP) Arumugam Pillai Nibong Tebal, Pulau Pinang telah mengadakan lawatan sambil belajar ke syarikat tersebut pada Khamis.

Selain penuntut ILP, beberapa tenaga pengajarnya juga menyertai sesi lawatan ke syarikat yang terletak di Shah Alam, Selangor, itu.

Menurut Penolong Pegawai Latihan Vokasional, Mohd Noor Mat Salleh, peserta yang menyertai rombongan berkenaan terdiri daripada penuntut tahun akhir, semester dua dan tiga dalam bidang Teknologi Percetakan (Offset).

Lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada mahasiswa berkenaan proses menghasilkan bahan cetakan bermula dari awal hingga akhir.

Pada masa yang sama ia turut mendedahkan penuntut berkaitan cara-cara mengendalikan mesin dengan kaedah teknik moden sekali gus mengenal pasti dan mengatasi masalah cetak.

Mohd Noor memberitahu, penuntut bidang Teknologi Percetakan (Offset) mempunyai masa hadapan yang cerah kerana peluang pekerjaan terbuka luas untuk mereka.

“Banyak kerjaya yang mereka boleh ceburi antaranya jurucetak lithografik, operator mesin cetak atau pekerjaan lain yang berkaitan dengan bidang percetakan.

“Kerana itu kami bawa penuntut ke Kumpulan Media Karangkraf sebagai alternatif untuk mereka melihat sendiri cabang kerjaya yang boleh diceburi apabila tamat pengajian nanti,” ujarnya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Mohd Noor
Mohd Noor

Mengulas mengenai bidang kemahiran yang semakin menjadi rebutan ramai, Mohd Noor mengakui pilihan dibuat oleh anak-anak muda hari ini memang tepat pada masanya.

“Bidang kemahiran telah diangkat dan mendapat tempat serta permintaan tinggi dalam institusi pendidikan.

“Begitu juga dalam bidang pekerjaan yang mana mereka akan dibayar dengan bayaran lumayan mengikut kepakaran dan pengalaman masing-masing.

“Di pasaran pula, majikan hari ini lebih menitikberatkan aspek kemahiran dan pengalaman yang dimiliki bakal pekerja berbanding kelulusan akademik semata-mata,” jelasnya.

Oleh kerana pentingnya bidang kemahiran, beliau sangat berharap agar semua penuntut terutamanya mahasiswa ILP Arumugam Pillai Nibong Tebal tidak merasa rendah diri dengan apa yang dipelajari sepanjang berada di pusat pengajian masing-masing.

“Percayalah, penuntut dari institut kemahiran akan memperoleh kerjaya dengan cepat kerana peluang pekerjaan cukup banyak sekali gus menjadikan mereka sebagai graduan 'terhangat di pasaran',” akhiri beliau.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp