Hanya di Ranau, murid bersukan dalam kabus tebal
Walaupun pandangan penonton terhalang oleh kabus tebal, namun ia langsung tidak menjejaskan kemeriahan acara sukan tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampong Libang, Ranau, Sabah yang berlangsung di Kompleks Sukan Ranau.
Video berdurasi satu minit 14 saat yang dikongsikan di aplikasi TikTok oleh pemilik akaun AtungRose menunjukkan atlet sedang mengikuti acara larian 4x100 meter bagi kategori Lelaki C.
Dalam catatan pemilik akaun memaklumkan keadaan itu hanya berlaku di Ranau.
"Hanya di Ranau, berlari seperti di kerajaan atas langit.
"Sukan tahunan SK Kampong Libang Ranau 2024. Sejuknya Atokkkk bergegar," tulisnya pada ruangan keterangan video tersebut.
Sementara itu, pemilik akaun ketika dihubungi Sinar Bestari memaklumkan, beliau datang bersama suami untuk memberi sokongan kepada anaknya yang menyertai acara sukan tersebut.
Menurutnya, video itu diambil pada Jumaat di mana anaknya Emir Danial Batiesyah Adzlan, 12, menyertai acara sukan balapan.
"Ketika itu tidak juga hujan lebat cuma renyai-renyai saja dan berkabus.
"Yang keluar dari kabus itu adalah anak saya sebab itu saya menjerit berhabis-habisan," katanya.
Menurutnya lagi, anaknya itu dinobatkan sebagai olahragawan sekolah selepas berjaya melepasi pelbagai halangan termasuk berkabus ketika menyertai acara larian tersebut.
"Anak saya berjaya mendapat pingat emas bagi acara sukan lompat jauh, larian bagi kategori 200 meter, 4x200 dan yang tular sebab berkabus iaitu 4x100 meter," jelasnya.
Dalam video itu, kelibat murid sekolah hanya dalam keadaan samar-samar menyebabkan penonton yang hadir memberi sokongan tertanya-tanya di mana kedudukan atlet ketika acara larian berlangsung.
Keadaan kabus tebal menyebabkan penglihatan penonton yang duduk di bahagian 'grandstand' terbatas dan sukar untuk melihat atlet rumah sukan mana yang mendahului.
Bagaimanapun, selepas hampir seminit barulah kelibat atlet dapat dilihat sebaik tiba berhampiran garisan penamat.
Terdahulu, Ranau adalah daerah yang mempunyai kawasan muka bumi bergunung yang mana terdapatnya Gunung Kinabalu sebagai gunung tertinggi bukan saja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara.
Keadaan cuaca sejuk dan berkabus tebal adalah perkara biasa bagi penduduk di daerah itu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan kaki gunung seperti Kundasang dan sekitarnya.
Kedudukan Kompleks Sukan Ranau pula terletak di puncak Bukit Lohan menyebabkan keadaan berkabus berlaku terutama ketika hujan.