Mengapa pilih TVET selepas SPM 2023?
Beberapa hari lalu, kecoh di platform media sosial tentang perkongsian pempengaruh atau influencer mengenai kelayakan individu dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Ada yang mendakwa, sambung belajar selepas SPM tidak penting dan rugi jika pelajar menyambung pengajian ke pusat pengajian tinggi kerana mereka tetap sukar mendapat pekerjaan nanti.
Adakah benar begitu?
Sebenarnya, dilema lepasan SPM setelah menerima keputusan peperiksaan adalah jenis bidang yang sesuai diambil oleh mereka.
Ada sesetengah pelajar menyambung pengajian berdasarkan minat semata-mata.
Hal ini tidaklah salah sekiranya ilmu yang bakal di pelajari di peringkat tinggi sesuai dengan diri mereka.
Namun, sekiranya pelajar memilih bekerja dengan majikan, perkara penting yang harus dititikberatkan adalah peluang pasaran kerja yang mereka akan pilih sama ada luas atau sempit.
Maka sangat penting untuk pelajar, ibu bapa atau penjaga melihat apakah keperluan bidang pekerjaan yang sangat diperlukan oleh negara dalam tempoh tiga atau lima tahun ke depan.
Di mana nak rujuk
Dokumen yang boleh dirujuk berkenaan bidang keperluan atau pasaran kerja yang luas adalah dengan melihat kepada buku Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).
Berdasarkan dokumen tersebut, bidang paling luas peluang pekerjaan yang diperlukan Malaysia menjelang tahun 2030 adalah dalam TVET.
Mengapakah TVET sangat releven dengan bidang keperluan industri?
Untuk makluman semua, selain Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang memantau sesuatu bidang di institusi mencapai standard atau pun tidak, Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan (ETAC) juga menjadi salah sebuah badan penilai penting dalam perkara tersebut.
ETAC akan memantau sama ada silibus kursus yang ditawarkan mencapai standard semasa diperlukan oleh industri.
Malah, ETAC juga akan memastikan silibus yang diajar dibuat perubahan mengikut keperluan semasa iaitu lima tahun sekali.
Institusi TVET yang ada di Malaysia
Sebanyak 12 kementerian tidak termasuk institusi swasta menawarkan bidang TVET di Malaysia.
Difahamkan, 682 institusi awam menawarkan TVET iaitu 198 program ijazah, 815 diploma dan 2,767 sijil.
Terdapat beberapa institusi TVET menawarkan yuran pengajian murah antaranya politeknik dan kolej komuniti iaitu serendah RM200 bagi satu semester.
Malah, yuran asrama di politeknik juga antara yang murah iaitu RM60 hingga RM630 bergantung kepada jenis asrama yang ditawarkan di situ.
Untuk pelajar yang bakal mengahadapi ujian bertulis SPM 2023 pada 30 Januari nanti, selamat maju jaya diucapkan.
Carilah kesempatan untuk melihat keperluan minimum keputusan yang diperlukan untuk anda menyambung pengajian kelak.
Sekurang-kurangnya, pelajar ada sasaran tepat tentang gred minimum yang diperlukan untuk meneruskan pembelajaran dalam bidang diminati.
Maklumat Penulis
Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Politeknik Port Dickson, Aidil Azhiim Shamsuddin
Pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Ambilan & Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my