Karya bertajuk Putus Kawan, Cemburu, Sedih, Yakin, Jatuh Cinta, Kerugian, Pengganti dan Tidak Kekal antara yang diketengahkan dalam pameran itu. Foto: Ihsan UPSI
Karya bertajuk Putus Kawan, Cemburu, Sedih, Yakin, Jatuh Cinta, Kerugian, Pengganti dan Tidak Kekal antara yang diketengahkan dalam pameran itu. Foto: Ihsan UPSI

68 karya Allahyarham Mustaqim kini di Galeri Seni, UPSI! 'Semua karyanya seolah meramal takdir'

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
28 Nov 2025 03:09pm

Karya lukisan yang dihasilkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Muhammad Mustaqim Rosde, 21, kini dapat dilihat menerusi Pameran Seni Visual Memorial Muhammad Mustaqim Rosde yang berlangsung di Galeri Seni, UPSI.

Pameran yang dibuka sehingga 27 Januari 2026 itu mengetengahkan kira-kira 68 buah lukisan beliau di mana setiap satu membawa makna tersendiri seolah-olah menyimpan isyarat tersirat tentang sisi kehidupan, pengalaman dan rasa yang tidak sempat dizahirkan sepenuhnya oleh Allahyarham.

Seorang tenaga pengajar Kelas Membaca Kanak-Kanak Sufi Kreatif, Perak, Mohd Firdhaus Hasraf Hassan, berkongsi pengalamannya mengunjungi pameran tersebut kepada Sinar Bestari.

Menurut beliau, banyak subjek dalam karya Allahyarham seakan memberi bayangan tentang kemalangan yang menimpa dirinya.

Mohd Firdhaus Hasraf
Mohd Firdhaus Hasraf

"Imejan jalan raya yang sunyi, suasana suram kegelapan malam dan penghadang jalan...rupa-rupanya telah pun divisualkan terlebih dahulu dalam lukisannya.

"Suratan atau kebetulan, begitulah misterinya seni lukisan yang berpaut kepada pemikiran dan rasa," katanya.

Beliau menjelaskan bahawa seorang pemikir dan penghasil seni sentiasa berinteraksi dengan pengetahuan, pengalaman serta pengamatan yang pernah dilalui.

Artikel Berkaitan:

Namun dalam seni lukis, 'rasa' atau sensasi yang hadir dari naluri pelukis sering menjadi elemen misteri yang menambah nilai pada sesebuah karya.

"Apatah lagi jika rasa itu memandu pelukis sehingga mampu menterjemahkannya dalam bentuk imej," tambahnya.

Foto: Ihsan UPSI
Foto: Ihsan UPSI

Laluan gerik: Realiti yang pernah dirasai

Mohd Firdhaus turut berkongsi pengalaman peribadinya menaiki bas dari Tanjong Malim ke Pantai Timur.

Katanya, laluan di Gerik yang terkenal dengan lintasan gajah dan haiwan liar sentiasa gelap, licin dan berisiko terutama waktu malam ketika hujan. Risiko kemalangan sangat tinggi, apa lagi jika pemanduan laju.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa Allahyarham pernah melalui pengalaman serupa sepanjang berulang-alik ke Terengganu menaiki bas.

"Barangkali arwah juga pernah mengalami suasana itu. Namun, takdir ALLAH SWT lebih menyayangi para syuhada dan syuhadah," ujarnya.

Foto: Ihsan UPSI
Foto: Ihsan UPSI

Pemandangan landskap & teknik bayang

Allahyarham Mustaqim sangat gemar merakam pemandangan landskap terutama suasana petang, senja dan malam dengan beberapa karya menggunakan teknik bayang atau silhouette.

Teknik ini lazimnya mencipta kesan misteri, seolah-olah menutup maksud dan emosi yang tidak ingin ditonjolkan secara jelas.

"Saya tidak mengenali arwah secara dekat. Namun jika diamati teknik sapuan berus dan lakaran dalam karyanya, ia lembut, tidak menekan. Ia seakan menggambarkan jiwa seorang yang sensitif, halus terhadap pengalaman dan arah tujunya," jelas Mohd Firdhaus.

Foto: Ihsan UPSI
Foto: Ihsan UPSI

Untuk rekod, Allahyarham Mustaqim antara 15 penuntut UPSI yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak 9 Jun lalu.

Bas yang disewa khas dari Jertih untuk membawa pelajar pulang ke universiti itu terlibat dalam nahas tragik yang turut mencederakan 33 mangsa lain termasuk pemandu, kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.

 

 

Ringkasan AI

  • Karya lukisan Muhammad Mustaqim Rosde dipamerkan di Galeri Seni UPSI sehingga 27 Januari 2026
  • Pameran tersebut mempamerkan 68 buah lukisan yang mengandungi makna kehidupan, pengalaman dan rasa Allahyarham
  • Banyak subjek dalam karya Allahyarham memberi bayangan tentang kemalangan yang menimpa dirinya
  • Allahyarham gemar merakam pemandangan landskap dengan teknik bayang yang mencipta kesan misteri
  • Allahyarham Mustaqim antara 15 penuntut UPSI yang maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, Perak
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp