Anggota OIC simbol kecemerlangan pendidikan tinggi negara Islam
Negara Islam perlu memanfaatkan jaringan dalam konteks pendidikan tinggi supaya mampu muncul sebagai sebuah entiti yang menawarkan alternatif kepada masyarakat dunia untuk melanjutkan pengajian tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kerjasama negara anggota di bawah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mampu menonjol dalam arena pendidikan tinggi global kerana negara Islam mempunyai kehebatan masing-masing.
Tambahnya, apabila disatukan di bawah satu bumbung dalam konteks jaminan kualiti pendidikan tinggi pasti mampu menarik minat lebih ramai pelajar untuk menyambung pengajian di mana-mana negara anggota OIC termasuk Malaysia seperti saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucaptamanya di Forum Kazan 2023.
"Menerusi jaringan ini, negara yang terlibat boleh saling bertukar kepakaran dan memberi sokongan antara satu sama lain jika sesebuah negara mempunyai kekurangan perlu dibantu negara ahli lain yang mempunyai kekuatan.
"Ini merupakan kaedah yang harus dilaksanakan kerana kini sebuah negara tidak mampu bergerak secara bersendirian dan memerlukan kolaborasi untuk memaksimumkan kepakaran yang ada," katanya selepas menghadiri Forum Kazan 2023, di Rusia baru-baru ini.
Forum Kazan 2023 bertujuan mengukuhkan bidang saintifik dan pendidikan serta ikatan kebudayaan dan sosial dengan negara anggota OIC.
Forum itu berjaya menarik penyertaan 72 buah negara dengan pembabitan seramai 7,500 peserta.
Delegasi Malaysia yang diketuai Mohamed Khaled turut bermesyuarat dua hala dengan Timbalan Menteri Sains dan Pengajian Tinggi Rusia, Ayrat Gatiyatov.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Pengerusi Education Malaysia Global Services (EMGS), Dr Abdul Razak Ahmad; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir Dr Ahmad Fauzi Ismail; Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Ir Dr Abdul Rahman Mohamed; Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Sharifudin Md Shaarani; Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa KPT, Noorazah Omar dan Pengarah Kanan (Akreditasi) MQA, Mohd Khairul Nizam Ibrahim.
Mengulas lanjut, Mohammad Shatar menjelaskan, MQA menyambut baik saranan menteri dan bertuah kerana turut diberi kepercayaan dalam kalangan negara Islam apabila Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari dilantik sebagai Presiden Association of Quality Assurance Agencies of the Islamic World (IQA) sebelum ini.
Ujarnya, pelantikan itu pengiktirafan badan jaminan kualiti di negara-negara Islam terhadap inisiatif dilaksanakan MQA termasuk proses akreditasi, APEL dan `microcredentials’ yang menjadi rujukan di negara ahli IQA.
"Pelantikan itu juga memberi kelebihan buat Malaysia untuk menarik minat pelajar dari negara ahli IQA bagi menyambung pengajian di IPT tempatan.
"Ini selaras dengan hasrat menteri untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat," katanya.