USIM anjur Bengkel Psychological First Aid, libatkan penyertaan 30 mahasiswa
Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan Bengkel Psychological First Aid (PFA) di Bilik Seminar HEP baru-baru ini dengan penglibatan seramai 30 mahasiswa kampus berkenaan.
Pengarah Program, Muhammad Amirul Hafiz Abd Rahman berkata, PFA dianjurkan bertujuan memberi pendedahan kepada ahli Pembimbing Rakan Universiti (PRU) dan Jawatankuasa MyPeers mengenai asas-asas berkaitan pertolongan cemas dari sudut psikologi.
“Antaranya cara-cara bagaimana mahasiswa kelab PRU dan Jawatankuasa MyPeers memberi bantuan awal kepada penuntut yang mempunyai masalah.
“Selain itu, para peserta turut didedahkan dengan tip yang betul dan berguna bagi menarik perhatian pesakit yang mempunyai masalah supaya mereka diberi kepercayaan untuk berkongsi kesulitan dihadapi,” katanya dengan menambah, Ketua Unit Psikologi dan Kaunseling, Nurul Hidayah Mat Salleh dari Kinik Kesihatan Kuala Lumpur dipilih sebagai panel jemputan bagi PFA.
Sementara itu, salah seorang peserta program, Nurul Siti Saadiah Abdul Rahim berkata, panel yang hadir amat membantu dalam memberikan perkongsian dan tunjuk ajar yang sangat bermakna serta bermanfaat.
“Bengkel ini sangat seronok malah saya memperoleh banyak ilmu untuk dipraktikkan apa yang diajar kelak.
“Saya berharap ia dapat dilaksanakan lagi pada masa akan datang untuk memberikan impak dan kesan mendalam khususnya kepada mahasiswa PRU dan Jawatankuasa MyPeers agar mereka dapat menasihati setiap mahasiswa yang bermasalah dengan jayanya,” ujar Nurul Siti Saadiah.